JPN siasat tindakan sekolah jemput pempengaruh Faiz Soul rasmi majlis anugerah akademik

JPN siasat tindakan sekolah jemput pempengaruh Faiz Soul rasmi majlis anugerah akademik


am@hmetro.com.my

Alor Setar: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah sedang melakukan siasatan berhubung tindakan sebuah sekolah di Bedong, Sungai Petani, menjemput seorang pempengaruh merasmikan majlis anugerah akademik baru-baru ini.

Video yang tular di media sosial itu mencetuskan pertikaian dalam kalangan netizen yang mempersoal kelayakan pempengaruh terbabit.

JPN Kedah dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya memandang serius jemputan berkenaan dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang didapati tidak mematuhi garis panduan jemputan tetamu luar.

“JPN mengingatkan agar semua pentadbir sekolah untuk memastikan jemputan kepada pihak luar mematuhi garis panduan.

“Tetamu yang dijemput perlu menjadi contoh yang baik selari dengan hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara,” katanya.

Isu itu tercetus selepas pempengaruh dan usahawan, Faiz Aizif, 23, atau lebih dikenali sebagai Faiz Soul, memuat naik video dirinya merasmikan majlis akademik di sekolah berkenaan, sekali gus mengundang persoalan mengenai kelayakannya.

Faiz dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi TikTok semalam, menepis dakwaan kononnya dia hadir sebagai wakil atau penyokong mana-mana parti politik, sebaliknya dijemput atas kapasiti sebagai usahawan muda.

“Ramai salah faham. Saya dijemput untuk beri motivasi, menyuntik semangat pelajar untuk belajar lebih hebat dan lebih cemerlang di masa hadapan, saya turut kongsi kisah hidup dan perjalanan saya menjadi usahawan. Bukan untuk agenda politik.

“Saya hadir sebagai usahawan menggunakan duit sendiri, saya mempunyai syarikat saya dan tidak menggunakan dana daripada mana-mana pihak… selain majlis anugerah akademik, sekolah itu turut mengadakan majlis usahawan sekolah pada hari itu dan sebab itulah saya dijemput,” katanya.

Faiz berkata, dia pernah dijemput beberapa kali ke sekolah lain sebelum ini dan tidak pernah menyentuh soal politik dalam ucapannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top