KEBELAKANGAN ini, isu mengenai tanah kerap ‘trending’ di media sosial, ada yang menanam pokok atau membuat binaan di atas tanah orang dan terkini ada yang menjual tanah yang telah diwakafkan untuk pembinaan masjid.
Tanah wakaf merupakan harta yang telah diwakafkan untuk kepentingan umat Islam seperti pembinaan masjid, sekolah, tanah perkuburan dan sebagainya.
Pendakwah, Ustaz Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau lebih dikenali sebagai PU Syed menjelaskan, umat Islam wajib mengambil pengajaran daripada kes Masjid Jamek Ar-Ridzuan yang berlaku di Alor Pongsu, Bagan Serai, Perak itu.
PU SYED
“Pertama saya nak menyatakan di sini, tanah yang telah diwakafkan tidak boleh dijual.
“Kalau tahu orang tua kita telah mewakafkan tanah, sebagai contoh untuk membina masjid, maka haram kepada anak cucu untuk menjual tanah tersebut,” katanya di TikToknya pada Selasa.
Menyambung hujahnya, beliau menambah, jika ada niat untuk mewakafkan harta untuk kegunaan umat Islam, segala urusan pertukaran hak milik untuk tujuan tersebut mesti melalui proses yang betul.
“Mesti ada hitam putih berlakunya pertukaran (hak milik) tanah wakaf tersebut.
“Jika ada anak cucu yang melakukan perbuatan menjualnya, walaupun mengetahui tanah itu telah diwakafkan dan menganggap tanah itu tanah pusaka serta difaraidkan kemudiannya, maka ini perbuatan yang sangat mungkar,” jelasnya.
Menurutnya lagi, pihak berwajib perlu menyiasat orang yang menjual tanah wakaf itu dan dalam kes ini, ia telah menyebabkan malu besar kepada umat Islam.

TANAH yang telah diwakafkan adalah haram untuk dijual. Foto Canva
“Jika kita seorang yang beriman kepada ALLAH, tahu halal dan haram, mengapa kita melakukan perbuatan ini, menjual sesuatu yang telah diwakafkan?
“Maka ketahuilah ia perbuatan yang durjana dan haram. Balasannya hasil jualan tersebut kalau kalian faraidkan atau kalian makan sendiri, kedua-dua perkara tersebut akan menatijahkan neraka,” hurainya.
Ia berdasarkan sepotong hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya tidak tumbuh setiap daging daripada harta yang haram, melainkan api neraka adalah lebih utama (untuk menyeksanya).” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Oleh itu katanya, beringatlah cucu-cucu dan para waris yang telah melakukan perbuatan ini.
“Kalian kena bertanggungjawab atas apa yang telah berlaku,” katanya.

BERITA mengenai kutipan sebanyak RM1.8 juta bagi membeli tanah untuk Masjid Jamek Ar-Ridzuan.
Sebelum ini, media melaporkan tanah wakaf masjid berkenaan telah berpindah milik kepada seorang individu bukan Islam yang menetap di Kuala Lumpur tanpa pengetahuan pihak pengurusan masjid.
Pemilik tanah memberikan dua pilihan kepada pihak masjid, iaitu membeli semula tanah tersebut dengan harga RM1.8 juta atau merobohkan semua struktur sedia ada di atasnya.
Susulan itu, pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai tampil membuat kutipan sehingga mencecah hampir RM2 juta bagi tujuan membeli tanah berkenaan.