July 23, 2024

Jurugambar MalaysiaGazette menang kali kedua Esei Foto Cemerlang MPI

Jurugambar MalaysiaGazette menang kali kedua Esei Foto Cemerlang MPI


KUALA LUMPUR – Jurugambar portal berita, MalaysiaGazette, Mohd Adzlan Mat Sidek memenangi Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2023 kategori Esei Foto Cemerlang kali kedua berturut-turut.

Mohd Adzlan memenangi tempat ketiga bagi esei foto bertajuk Tangisan Penghuni Kampung Koskan dan menerima hadiah wang tunai RM2,000.

Esei berkenaan mengisahkan Keceriaan 12 keluarga Kampung Koskan Tambahan, Serendah untuk menyambut Aidilfitri bertukar menjadi mimpi buruk setelah mereka menerima notis perintah pengosongan kediaman mereka.

Mereka diarahkan supaya mengosongkan penempatan itu sebelum 9 pagi pada 2 Mei.

Berdasarkan notis berkenaan, pemaju tersebut dikatakan telah diberikan hak milik bagi kawasan tanah rizab itu bagi tujuan pembinaan loji kumbahan najis.

Ketika bercakap dengan MalaysiaGazette, Mohd Adzlan yang ditemui berkata, beliau tidak menyangka memenangi hadiah tersebut untuk kali kedua selepas menang tempat pertama kategori sama tahun lalu.

“Alhamdullilah menang untuk kali kedua dan ini merupakan satu rezeki. Terima kasih kepada bos dan MalaysiaGazette yang sentiasa memberi peluang. Terima kasih kepada emak dan ayah yang selalu mendoakan kejayaan, kepada kawan-kawan yang selalu memberi sokongan dan idea.

“Idea ini datang apabila penduduk menghantar memorandum kepada pihak berkuasa. Nampak situasi yang dihadapi oleh penduduk mempunyai potensi untuk diceritakan dengan lebih baik melalui foto dan saya cuba yang terbaik supaya derita mereka turut dirasai oleh banyak pihak,” katanya.

Tahun lalu Mohd Adzlan dipilih sebagai pemenang emas menerusi foto esei berjudul ‘Madrasah Darussolihin: Siap Siaga Di Bumi Tuhan’. Beliau membawa pulang wang tunai RM10,000, sijil beserta trofi.

Hasil karya tersebut berkisar tentang Madrasah Darussolihin Al Qadiri yang mendapat perhatian di media sosial selepas didakwa melatih salah seorang pelatih secara militan dan dikatakan beroperasi secara haram, bagaimanapun ia dinafikan pihak madrasah tersebut.

Madrasah Darussolihin yang terletak di Kampung Jalan Kebun, Shah Alam merupakan sebuah madrasah yang melaksana dan menjalankan modul 5B iaitu Berubat, Bertaubat, Beribadah, Bermujahadah dan Berhijrah berkonsepkan pusat pemulihan akhlak. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top