am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sependapat dengan kenyataan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung hasrat Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming untuk meletak jawatan.
Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata, keputusan untuk melepaskan jawatan adalah hak individu dan tiada mana-mana pihak yang boleh menghalang sekiranya seseorang itu benar-benar mahu berbuat demikian.
“Bila dia kata nak letak jawatan, siapa yang halang dia letak jawatan? Letaklah.
“Kalau dia nak letak jawatan, tak ada siapa suruh dia jangan letak jawatan dan tak ada siapa larang. Itu hak dia,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu yang menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan.
Ketua Menteri Melaka itu berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Latih Amal Ex-Undi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Melaka 2026 (Simulasi Ketenteraman Awam) di Dewan Datuk Kapt. (B) Haji Abdul Karim, Tanjung Bidara, Masjid Tanah di sini, malam tadi.
Semalam, media melaporkan Mohamad berkata, BN mencabar Nga supaya menunaikan hasratnya untuk meletakkan jawatan sekiranya BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Datuk Seri Najib Razak dibebaskan.
Menurutnya, cabaran itu dibuat selaras dengan kenyataan Nga sendiri yang menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatan.
Terdahulu, Nga dilaporkan berkata beliau akan menjadi individu pertama meletakkan jawatan sekiranya Najib dibebaskan tanpa sebarang kesalahan.
Pada masa sama, beliau turut membayangkan DAP akan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya perkara itu berlaku kerana ia disifatkan sebagai ‘garis merah’ parti berkenaan.
Nga turut mendakwa UMNO Johor berulang kali menyuarakan hasrat supaya Najib dibebaskan lebih awal dengan slogan ‘UMNO menang besar, Najib pulang ke rumah’.
© New Straits Times Press (M) Bhd






