Susulan terpalit dengan pelbagai tuduhan jahat, termasuklah didakwa menjadi punca keretakan rumah tangga suami dan mengeluarkan kenyataan mengelirukan mengenai anak-anak tirinya, pelakon Azar Azmi akhirnya tampil membuka mulut dan mempertahankan dirinya.
Kata Azar atau nama sebenarnya Azar Amir Azmi, 37, dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang mendakwa dirinya menggalas tanggungjawab menjaga tujuh orang anak tirinya seperti yang tular di media sosial.
Tegasnya, kesemua anak tirinya itu berada di bawah jagaan ibu kandung mereka sendiri.
“Ya, semua anak tirinya ada dengan ibu mereka. Lagipun, siapa yang keluarkan kenyataan yang cakap saya jaga mereka semua?
“Anak tiri semua dibawah tanggungan ibu kandung mereka sendiri. Yang saya jaga hanyalah anak saya sendiri.
“Ibu mereka masih ada, buat apa saya nak kena jaga?” katanya.
Azar berkongsi perkara itu ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Media Prima yang diadakan di Balai Berita, Kuala Lumpur pada Khamis.

Menjawab dakwaan menjadi orang ketiga dalam perkahwinan suaminya, Mohd Apri Hazreen dengan bekas isteri, Azar menjelaskan, perkenalan mereka bermula hanya selepas suaminya itu sah bercerai.
Malah, mereka tidak melalui fasa percintaan yang lama sebelum memutuskan untuk mendirikan rumah tangga pada tahun 2021.
“Saya memang kenal suami saya selepas mereka berpisah. Saya dan suami pun tidak pernah bercinta sebab dia terus berseloroh untuk mahu berkahwin dengan saya. Kemudian perkara itu menjadi serius.
“Dan kami bernikah pada 2021 dan sekarang ini mempunyai dua cahaya mata lelaki berumur tiga dan empat tahun,” ujarnya.
Tidak mahu terus membuang masa melayan spekulasi negatif, Azar menyerahkan segalanya kepada penilaian orang ramai memandangkan dia sudah menjelaskan perkara yang sebenar.
“Untuk orang yang kata bukan-bukan itu, terpulanglah pada mereka nak cakap apa.
“Kalau saya tegakkan, terangkan pun, mereka akan cakap yang saya ini pelakon. Mampu untuk berlakon.
“Hanya orang yang tahu sahaja akan percaya. Saya tidak perlu nak ambil serius terhadap pandangan mereka,” ujarnya.
Untuk rekod, Azar dan Mohd Apri sah berkahwin pada 2021 dan dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki yang kini masing-masing berusia tiga dan empat tahun.






