PEMILIK Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail menzahirkan rasa bangga dengan semangat juang yang dipamerkan para pemainnya meskipun skuad Harimau Selatan itu gagal melangkah ke pentas final Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC).
JDT terpaksa akur terkandas di peringkat separuh akhir selepas tewas dengan agregat 4-3 kepada kelab Thailand.
Pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ibrahim, JDT tewas 1-3 dan bangkit mencatatkan kemenangan 2-1 pada aksi separuh akhir kedua di Chang Arena, Thailand pada Rabu, namun ia masih belum cukup untuk membawa mereka ke final selepas tewas tipis secara agregat keseluruhan.
Susulan keputusan tersebut, Tunku Mahkota Ismail menerusi komen di laman Instagram Officialjohor memberikan kata-kata semangat buat seluruh pasukan.
“Syabas pemain-pemain. Bangga dengan semangat juang yang ditunjukkan,” titah baginda.
Tunku Mahkota Ismail turut memberi jaminan bahawa skuad Harimau Selatan akan kembali dengan lebih ampuh pada musim hadapan.
“Kita akan kembali lebih kuat tahun hadapan. Kami sentiasa melakukannya,” titah baginda lagi.






