Pan-gon bangga persembahan luar biasa pemain

Pan-gon bangga persembahan luar biasa pemain


Chrigor Moraes (kanan) menjadi wira Selangor pada aksi separuh akhir menentang Nam Dinh. Foto Selangor FC

PENGENDALI Selangor FC, Kim Pan-gon meluahkan rasa bangga terhadap anak buahnya selepas berjaya menempah tiket ke perlawanan akhir Kejuaraan Kelab Asean (ACC) selepas menundukkan kelab Vietnam, Nam Dinh FC 2-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Thien Truong pada Rabu.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Gergasi Merah melengkapkan kemenangan agregat 4-1, selepas turut mencatatkan kemenangan 2-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), minggu lalu.

Menurut Pan-gon, beliau amat menghormati kesemua pemain Selangor yang disifatkannya telah mempamerkan komitmen serta keazaman yang sangat tinggi sepanjang perlawanan berlangsung.

“Sebagai seorang profesional, mereka telah membuatkan kita semua berasa bangga. Jadi, saya berharap penyokong Gergasi Merah juga berbangga dengan pemain kita.

“Ia adalah persembahan yang sangat baik. Kami bermain mengikut perancangan. Memang Nam Dinh memulakan perlawanan dengan sangat agresif, namun pasukan kita berjaya bertahan dengan baik, mengatasi situasi tersebut dan akhirnya berjaya menjaringkan gol. Saya sangat bangga dengan mereka,” katanya selepas perlawanan.

Selangor FC bakal berdepan cabaran getir menentang gergasi Thailand, Buriram United dan pertembungan kemuncak itu bakal berlangsung secara timbal balik yang dijadualkan pada 20 Mei dan 27 Mei depan.



Source link

OR

Scroll to Top