KUANTAN: Kira-kira dua bulan lalu, Nur Arissa Mohd. Sabri masih seorang yang ceria dan aktif, malah tekun dalam pelajaran sehingga sering menerima anugerah kecemerlangan akademik.
Namun hari ini, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Chengal Lempung itu banyak berdiam kerana badan kecilnya semakin lemah dan air mata menjadi teman setianya.
Bukan sahaja terpaksa menangguhkan persekolahan, waktunya lebih banyak dihabiskan dengan menjalani rawatan di hospital selepas disahkan menghidap leukemia.
Bapanya, Mohd. Sabri Mohd. Rafdzi, 46, berkata, segalanya berubah pada tanggal 18 Mei lalu lalu selepas anak sulung daripada dua beradik itu mengadu sakit perut dan kelihatan pucat.
Katanya, pada awalnya mereka membawa anaknya mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta sebelum keputusan ujian darah menunjukkan keadaan membimbangkan dan dia segera dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.
“Nur Arissa disahkan menghidap leukemia dan dia dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu bagi mendapatkan rawatan pakar,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Kampung Cengal Lempung di sini, semalam.
Mohd. Sabri berkata, Nur Arissa kini dikategorikan sebagai pesakit berisiko tinggi selepas keputusan ujian sumsum tulang mendapati sel kanser masih berada pada kadar 17 peratus, sekali gus memerlukan rawatan lebih agresif termasuk kemoterapi dan prosedur pengambilan air sumsum tulang secara berkala.
“Setakat ini dia sudah dua kali menjalani prosedur pengambilan air sumsum tulang dan Isnin ini kali ketiga. Selepas setiap sesi kemoterapi dia akan menjadi terlalu lemah, muntah, hilang selera makan dan badannya terasa panas.
“Kalau bacaan darahnya tidak memuaskan, rawatan juga terpaksa ditangguhkan. Doktor memaklumkan keseluruhan rawatan dijangka mengambil masa sehingga dua tahun,” katanya.
Menurutnya, ujian lebih besar bakal menanti apabila anak bongsunya berkemungkinan perlu menjadi penderma sumsum tulang sekiranya keputusan ujian keserasian genetik yang dijadualkan pada September depan menunjukkan padanan sesuai.
“Sebagai ibu bapa memang berat untuk buat keputusan. Doktor pun faham perasaan kami, tetapi kalau adiknya serasi, dia mungkin perlu membantu kakaknya. Kami hanya mampu berserah dan berharap semuanya dipermudahkan,” ujarnya.
Mohd. Sabri berkata, isterinya, Hasma Husain, 39, terpaksa menemani Nur Arissa sepanjang berada di hospital manakala dia pula menjaga seorang lagi anak mereka di Kuantan sambil terus bekerja bagi memastikan keluarga mempunyai sumber pendapatan.
Katanya, sebagai pemandu lori yang menerima gaji mengikut trip, pendapatannya terjejas kerana terpaksa kerap mengambil cuti selain berulang-alik ke Kuala Terengganu setiap minggu yang menelan kos kira-kira RM300 bagi setiap perjalanan.
“Kos rawatan memang ditanggung menggunakan surat sekolah tetapi perbelanjaan harian tetap tinggi. Anak pula tidak boleh makan makanan hospital, jadi kami perlu membeli makanan yang sesuai di luar kerana doktor mahu dia terus makan untuk menguatkan antibodi.
“Saya tak fikir lagi soal duit. Apa yang ada, saya gunakan sahaja. Kalau ada ubat yang mahal sekalipun, saya sanggup jual apa sahaja yang saya miliki asalkan anak kembali sihat seperti dulu,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga itu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun AmBank 8881034814386 atas nama Mohd. Sabri Mohd. Rafdzi. – UTUSAN






