Khaty dapat upah menyanyi RM700 seawal usia 15 tahun

Khaty dapat upah menyanyi RM700 seawal usia 15 tahun


am@hmetro.com.my

SIRI 1

NAMA penyanyi popular era 1970-an, Datuk Khadijah Ibrahim atau Khaty, 67, masih relevan dan terus bertahan dalam industri seni tanah air sejak lebih empat dekad.

Penghibur bertaraf ‘Living Legend’ ini digilap bakat dan disiplinnya oleh komposer, Allahyarham Tan Sri Dr Ahmad Nawab, manakala mendiang Mike Bernie Chin selaku pengurus artis pula berjaya membawa namanya hingga ke peringkat antarabangsa.

Anak seni kelahiran Melaka ini juga bertuah kerana dilahirkan dalam keluarga seni di mana abang dan kakaknya adalah penyanyi dan pelakon terkenal, Allahyarham Latif Ibrahim dan Sophia Ibrahim.

Selain menghasilkan 12 album studio, tiga album duet dan dua album kompilasi, Khadijah adalah antara bintang selain Datuk M Nasir, Anita Sarawak, Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini, Ramlah Ram yang melahirkan album solo setiap empat dekad.

Rangkaian lagu hits malar segar dendangannya yang terus menjadi siulan ialah Ku Pendam Sebuah Duka (1987) dan lagu-lagu ciptaan Ahmad Nawab iaitu Ku Gembira Di Sampingmu (1979), Ku Sangka Siang Kiranya Malam (1979), Tangisan Hati Yang Derita (1979), Peristiwa Di Bulan November (1980), Mengapa Aku Disalahkan, Potret Kasih (1980) serta Rindu dan Air mata (1980).

Tidak ketinggalan lagu duet popular bersama Datuk Ramli Sarip iaitu Doa Buat Kekasih (1988) dan Ku Miliki Bayangmu (1987).

Antara pencapaiannya dalam bidang seni apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat (2010) dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (BH) ke 23 (2010).

Di sebalik nama besar dan kekal relevan dalam bidang seni, ramai yang tidak tahu, Khadijah sebenarnya mula menyanyi seawal usia 15 tahun ketika musim cuti sekolah yang panjang untuk mencari duit poket.

Menurut Khadijah, pada peringkat awal dia sekadar menyanyi untuk mendapat duit poket dan langsung tidak meminati bidang nyanyian.

Katanya, bakat menyanyi dalam dirinya adalah anugerah Allah SWT dan diwarisi daripada kedua ibu bapa, abang dan kakaknya.

“Jadi, saya gunakan bakat menyanyi yang dianugerahkan itu untuk mencari duit poket. Semuanya bermula ketika cuti sekolah selama sebulan, kakak saudara saya yang bekerja di Ida’s Coffee House ketika itu beritahu mereka perlukan penyanyi kerana kebetulan orang yang sepatutnya menyanyi di situ jatuh sakit dan tidak ada pengganti.

“Jadi, kakak saudara minta tolong saya menyanyi dan dia beritahu akan ada bayaran. Saya pula sangat ‘business minded’ (otak bisnes) dan soalan pertama yang saya tanya ialah berapa nak bayar dan dia beritahu RM700.

“Masa itu, umur saya baru 15 tahun dan nilai itu besar. Saya pula memang tinggi lampai dan orang ingat umur saya 19 tahun. Pada masa sama, sebagai remaja umur 15 tahun, macam-macam yang kita nak beli untuk emak dan bila dengar bayaran RM700, saya rancang nak belikan emak mesin basuh sebagai hadiah,” katanya ketika ditemu bual Metro Ahad.

Mengulas lanjut, kata Khadijah, dia juga meminta izin daripada bapanya terlebih dahulu sebelum menerima pelawaan kakak saudaranya untuk menyanyi di ‘coffee house’ berkenaan.

“Saya tanya bapak, boleh tak nak menyanyi sekejap kerana kakak saudara minta tolong dan bapak pun benarkan dengan syarat dia yang akan ambil dan hantar ke sana.

“Sebenarnya, ramai penyanyi terkenal seperti kumpulan Blues Gang yang menyanyi di Ida’s Coffee House ketika itu. Masa saya menyanyi, ramai yang dapat tahu dan banyak juga boss syarikat rakaman serta pemuzik legenda, Michael Veerappan datang untuk tengok saya menyanyi tapi saya tak kenal mereka.

“Tapi kalau syarikat rakaman nak tawarkan saya jadi artis ketika itu, arwah bapak memang tak akan benarkan sebab saya belum habis sekolah dan masih terlalu muda. Arwah bapak memang utamakan pelajaran dan sebagai anak, kita mesti hormati bapak kita,” katanya.

Bagaimanapun, Khadijah berkata, dia mendapat tawaran menjadi pramugari di Saudi Airlines ketika menjalani kursus setiausaha di sebuah kolej.

“Masa saya tengah hadiri kursus setiausaha di kolej untuk jadi setiausaha, saya dapat tawaran dari Saudi Airlines yang menawarkan rakyat Malaysia untuk menjadi pramugari.

“Semasa saya nak pergi temuduga di Hotel Merlin untuk menjadi pramugari bersama kawan baik, pihak Warner Music pula hubungi untuk datang ke pejabat mereka temuduga sebagai artis.

“Saya terus pergi temuduga di pejabat syarikat rakaman itu dan beritahu kepada kawan saya untuk pergi temuduga pramugari,” katanya.

Kata Khadijah, dia terus ditawarkan untuk menandatangani kontrak dengan syarikat rakaman Warner Music tanpa sebarang sesi uji bakat ketika itu.

“Bila saya sampai sahaja di pejabat Warner, abang Mat (Ahmad Nawab) hanya cakap, ‘Khadijah, we sign you in’ dan nanti abang Mat akan uruskan lagu-lagu dan kita akan terus buat album.

“Maksudnya saya ditawarkan syarikat rakaman tanpa uji bakat, tidak ada praktis dan tidak ada apa-apa ketika itu. Saya adalah artis rakaman wanita pertama yang menandatangani kontrak dengan syarikat rakaman terkemuka, Warner Music Malaysia dan baru berusia 18 tahun ketika itu,” katanya

Sementara menunggu untuk pembikinan album, Khadijah berkata, dia juga mengisi masa menyanyi di Hotel Merlin selama sebulan setengah.

“Bayangkan dalam tempoh sebulan setengah, saya bekerja dengan gaji sebanyak RM1,700 dan disediakan makan minum serta tempat tinggal.

“Saya rasa macam bertuah sangat kerana dapat kerja yang datang bergolek sebegitu,” katanya.

Selepas menjadi artis rakaman pada usia 18 tahun, Khadijah berkata, dia terus fokus untuk menjadi penghibur selepas tampil dengan album berjudul Sehari Dalam Cinta pada 1979.

“Masa itu, otak saya hanya fikir soal duit sahaja dan macam mana saya nak labur duit dan nak buat apa dengan duit bayaran hasil menyanyi.

“Arwah bapak saya ahli perniagaan dan saya memang selalu bertanya padanya mengenai bisnes dan sebagainya.

“Bila album Sehari Dalam Cinta meletup dan saya pun terus hasilkan album demi album sehinggalah saya berkahwin dan berhenti sekejap dari menyanyi untuk fokus pada rumah tangga pada 1981,” katanya.

Ditanya sama ada pembabitan dalam bidang nyanyian kerana pengaruh besar ahli keluarga, Khadijah menafikannya.

“Masa itu, arwah abang saya, Latif dan kakak, Sophia sudah terkenal sebagai pelakon dan penyanyi. Manakala, pak cik saya pula, pelakon dan pengarah filem legenda, Allahyarham Hussein Abu Hassan (bapa pelakon Faizal Hussein).

“Tak pernah orang cakap saya tumpang nama abang dan kakak atau ahli keluarga sebab bakat saya berbeza dan ‘raw’ serta tiada artis muda lain yang sama ketika itu,” katanya.

ESOK: Pemergian ibu titik terendah dalam hidup

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top