HOUSTON: Azzedine Ounahi muncul wira Maghribi apabila meledak dua gol untuk membantu pasukan itu membenam Kanada 3-0 pada aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia, sekali gus mengesahkan kemaraan ke suku akhir buat dua edisi berturut-turut.
Skuad Afrika itu memecahkan kebuntuan pada minit ke-50 menerusi gerakan sepakan percuma yang dirancang rapi. Achraf Hakimi melakukan hantaran rendah dari sebelah kanan kepada Ounahi sebelum pemain tengah itu melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti yang menerjah penjuru bawah gawang.
Ounahi terus mencuri tumpuan apabila menggandakan kelebihan pada minit ke-82 hasil serangan balas pantas. Brahim Diaz melorongkan bola tepat ke laluannya sebelum dia tenang menyudahkan peluang dengan rembatan padu ke penjuru atas gawang.
Maghribi melengkapkan kemenangan bergaya pada masa kecederaan apabila pemain gantian, Soufiane Rahimi, menyempurnakan satu lagi serangan balas pantas untuk menjadikan kedudukan 3-0.
Kemenangan itu bagaimanapun sedikit tercalar apabila penyerang utama, Ismael Saibari, terpaksa dikeluarkan pada babak pertama selepas mengalami kecederaan hamstring. Kehilangan pemain yang sudah meledak tiga gol sepanjang kejohanan itu dijangka menjadi kebimbangan buat pengendali Maghribi menjelang aksi seterusnya.
Keputusan itu menyaksikan Maghribi meneruskan kemaraan ke suku akhir dan bakal berdepan pemenang perlawanan antara Perancis dan Paraguay pada 10 Julai ini dalam misi memburu satu lagi pencapaian bersejarah di pentas dunia.-AGENSI






