Port Dickson: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia selepas ditemukan lemas di kolam renang sebuah resort hotel di Jalan Pantai, Batu 4, di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson Deputi Superintendan Mohd Ruslan Mat Kib berkata, pihaknya menerima aduan daripada Hospital Port Dickson pada 7.26 malam, berhubung kejadian itu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira 5.30 petang, ketika mangsa bersama tiga adik-beradiknya turun mandi di kolam renang resort berkenaan ditemani ibu mereka.
“Keluarga ini datang dari Johor ke Port Dickson dan menginap selama dua hari satu malam di sebuah apartmen persendirian, di resort hotel berkenaan.
“Mangsa disedari terjatuh ke dalam kolam oleh abangnya sebelum diselamatkan orang awam dan dibawa ke hospital oleh ibunya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mangsa disahkan meninggal dunia pada 10.31 malam pada hari yang sama dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat lemas.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
© New Straits Times Press (M) Bhd






