Kenaikan tarif air bagi biayai projek infrastruktur baharu

Kenaikan tarif air bagi biayai projek infrastruktur baharu

Kenaikan tarif air bagi biayai projek infrastruktur baharu


GEORGE TOWN: Pelaksanaan tarif air baharu di Pulau Pinang dibuat bagi memastikan operator bekalan air negeri mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk melaksanakan pelbagai projek infrastruktur kritikal yang melibatkan kos berbilion ringgit.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, keuntungan yang diperoleh oleh syarikat operator air negeri iaitu Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) ketika ini tidak mencukupi untuk membiayai keseluruhan projek pembangunan dan penaiktarafan sistem bekalan air yang dirancang.

Menurutnya, pelbagai projek baharu perlu dilaksanakan bagi menjamin bekalan air yang mampan kepada pengguna pada masa hadapan.

“Keuntungan yang ada se­karang tidak mencukupi walaupun syarikat mencatatkan keuntungan. Kita memerlukan dana yang lebih besar untuk membiayai semua projek yang dirancang,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

PBAPP akan melaksanakan kadar air baharu di negeri ini bermula 1 Julai ini selepas pelaksanaannya ditangguhkan selama setahun atas arahan kerajaan negeri.

Susulan pengumuman kenaikan tarif itu, Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang, Oh Tong Keong, membidas tindakan berkenaan dan menyifatkannya sebagai satu lagi beban yang dikenakan ke atas rakyat tanpa mengambil kira kesukaran hidup serta tekanan ekonomi yang sedang dihadapi rakyat.

Zairil berkata, antara projek yang sedang dan akan dilaksanakan termasuk pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Mengkuang yang kini dalam pembinaan selain dua LRA baharu di Sungai Kerian.

Katanya, dua loji di Sungai Kerian itu masing-masing berkapasiti 80 juta liter sehari (MLD) dan 114 juta liter sehari yang memerlukan peruntukan yang besar.- UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top