Mexico City: Petarung England, Lone’er Kavanagh, mencipta kejutan besar apabila menewaskan bekas juara dua kali divisyen flyweight, Brandon Moreno, dalam aksi utama UFC Fight Night.
Kavanagh menang menerusi keputusan sebulat suara 49-46, 48-47, 48-47 dalam pertarungan bukan kejuaraan itu, sekali gus meninggalkan Moreno dalam keadaan berdarah dan lebam.
Petarung berusia 26 tahun itu yang masuk sebagai pengganti saat akhir menggantikan Asu Almabayev, mempamerkan aksi agresif sejak awal termasuk hampir menjatuhkan Moreno pada pusingan kedua.
“Saya hidup untuk detik legenda. Ini detik legenda,” kata Kavanagh yang menyifatkan Moreno sebagai legenda sukan itu.
Kekalahan itu menyaksikan Moreno kini tewas dua kali berturut-turut dan tiga daripada lima aksi terakhirnya.
Dalam aksi divisyen bantamweight, petarung Mexico, David Martinez, menewaskan bekas pencabar gelaran, Marlon Vera, menerusi keputusan sebulat suara 29-28, 29-28, 29-28.
Martinez kini mencatat 10 kemenangan berturut-turut dan 3-0 dalam UFC, manakala Vera mengalami kekalahan kelima dalam enam pertarungan terakhirnya.
Dalam aksi lightweight, King Green mencatat kemenangan TKO ke atas petarung tuan rumah, Daniel Zellhuber, pada penghujung pusingan kedua.
Green turut menyatakan kesediaan berdepan bekas bintang popular, Nate Diaz, sekiranya Diaz kembali ke UFC.
Sementara itu, Edgar Chairez menewaskan Felipe Bunes menerusi keputusan berpecah dalam aksi flyweight.
Pendatang baharu, Imanol Rodriguez, pula mencuri perhatian apabila menewaskan Kevin Borjas dengan KO pada pusingan kedua dalam debutnya.
Borjas sebelum ini pernah tewas kepada juara flyweight semasa, Joshua Van.
Kad utama dimulakan dengan kemenangan sebulat suara Santiago Luna ke atas petarung Amerika Syarikat, Angel Pacheco.
© New Straits Times Press (M) Bhd





