KUALA LUMPUR – Beratus-beratus penyokong Datuk Seri Najib Razak setia menanti ketibaan bekas Perdana Menteri di luar pintu pagar kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini bagi prosiding keputusan kes penyelewengan dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) sebelum jam 7 pagi tadi.
Bagaimanapun rata-rata mereka kecewa kerana tidak dapat melihat kelibat Najib yang tidak dibawa masuk dari pintu depan mahkamah seperti kebiasaan ekoran kawalan ketat di pintu keluar masuk pagi ini.
Najib tiba dengan kenderaan SUV sekitar jam 8.40 pagi sebelum naik ke bilik bicara Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang dijangka akan membaca keputusan beliau sekitar jam 9.15 pagi ini.
Beberapa anggota keluarga Najib kelihatan hadir di mahkamah, selain pemimpin UMNO termasuk Ketua Pemuda, Datuk Dr Akmal Salleh yang tiba jam 8.20 pagi ini.
Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan penting sama ada Najib akan perlu membela diri atau lepas bebas tuduhan penyelewengan berkaitan dana 1MDB bernilai RM2.3 bilion.
Untuk makluman, prosiding 1MDB telah berlangsung lebih enam tahun dengan, 235 hari dengan 50 saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan.
Hari ini andai Collin mendapati pendakwaan telah berjaya mewujudkan prima facie dalam kes ini, maka Najib perlu membela diri terhadap empat pertuduhan salah kedudukan ketika menjadi Perdana Menteri bagi mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB selain 21 pertuduhan pengubahan wang haram.
Namun jika hakim mendapati pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes ini terhadap Najib maka mantan Presiden UMNO dan bekas Ahli Parlimen Pekan itu bebas daripada semua tuduhan tersebut.
Pada 3 Oktober lepas berakhir hujahan akhir antara pasukan bela Najib diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Tania Scivetti dan Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin dan pendakwaan yang sebelum ini diketuai oleh mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram sebelum di ambil alih oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Bahrin Omar dan Ahmad Akram Gharib.
Sebelum pada 20 September 2018, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2018, manakala perbicaraan bermula pada 28 Ogos 2019.
Antara saksi utama yang dipanggil semasa perbicaraan termasuk bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Mohamad Bakke Salleh, dan bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan serta Pegawai Penyiasat SPRM Superintendan Kanan Nur Aida Ariffin.
Najib didakwa melakukan kesalahan itu di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014.
Semua kesalahan yang mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh dikenakan hukuman sehingga penjara hingga 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan andai sabit salah.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib berdepan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).
Ketika ini juga, Najib sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang bermula 23 Ogos 2022 selepas didapati bersalah menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd. – MalaysiaGazette