Sydney: Pemenang lima pingat emas Olimpik, Kaylee McKeown menarik diri daripada siri Piala Dunia renang yang menjanjikan ganjaran lumayan di China untuk memberi tumpuan kepada kesihatan mentalnya.
Bintang Australia itu, yang mempertahankan gelaran 100 meter (m) dan 200m kuak lentang di Olimpik Paris tahun ini, membuat keputusan itu selepas bertanding pada hari pertama di Shanghai.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Akuatik Dunia atas peluang untuk bersaing di Piala Dunia. Ia sangat menyeronokkan di Shanghai.
“Dengan mengutamakan kesihatan mental saya, saya memutuskan untuk berehat seketika. Sebagai atlet, sangat penting untuk mendengar kata hati. Masa untuk berehat sangat diperlukan,” katanya di Instagram.
Kaylee menjadi kuasa dominan dalam siri Piala Dunia tahun lalu, memenangi gelaran keseluruhan wanita dan memecahkan beberapa rekod dunia.
Selepas pencapaiannya di Olimpik, dia kembali ke kolam renang hanya beberapa minggu kemudian di kejohanan renang jarak pendek Australia bulan lalu ketika ramai rakan seangkatannya berehat.
Dia memecahkan rekod dunia 100m kuak lentang jarak pendek, dengan mengatakan pada masa itu bahawa dia menjadi “gila” jika hanya duduk di rumah.
Siri Piala Dunia akan beralih ke Korea Selatan hujung minggu depan sebelum menuju ke Singapura.
© New Straits Times Press (M) Bhd