KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) berhasrat menyerap sebahagian sukarelawan Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 untuk membantu menjayakan penganjuran Sukan SEA tahun depan.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, hasrat itu disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari selepas melihat komitmen lebih 10,000 sukarelawan sepanjang temasya SUKMA.
Menurutnya, kerajaan negeri menyambut baik hasrat berkenaan kerana ia mencerminkan pengiktirafan KBS terhadap peranan dan pengalaman sukarelawan yang terbabit dalam penganjuran temasya berkenaan.
“Terima kasih ‘unsung heroes’, sukarelawan kita. INSYA-ALLAH untuk semua sukarelawan kita, akan ada tindakan susulan daripada kerajaan negeri untuk kita menyemarakkan lagi program sukarelawan ini.
“Saya ada berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Taufiq, beliau ada menyampaikan hajat pihak KBS hendak melamar sukarelawan kita untuk diserap sebagai sukarelawan pada Sukan SEA nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan SUKMA XXII Selangor yang disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah di Aneka Walk, Shah Alam.
Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Mohd Najwan berkata, perbincangan lanjut akan diadakan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026, Datuk Mohd Yazid Sairi bagi menentukan bentuk serta jumlah penglibatan sukarelawan yang sesuai.
“Nanti saya akan bincang dengan pihak sekretariat. Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 untuk kita sesuaikan dari segi keperluan, dari segi kapasiti kerana Sukan SEA ini adalah sukan peringkat Asia Tenggara,” katanya.
Katanya, pemilihan perlu dibuat secara teratur memandangkan jumlah sukarelawan SUKMA 2026 melebihi 10,000 orang, selain mengambil kira keperluan venue dan lokasi pertandingan di Selangor.
“Mungkin ada beberapa keperluan yang melibatkan venue atau tempat penganjuran acara di negeri Selangor, di situ kita boleh mengadaptasi sukarelawan kita untuk mereka terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Najwan berkata, pengalaman yang diperoleh sukarelawan sepanjang SUKMA boleh menjadi aset penting untuk membantu kelancaran pengurusan temasya bertaraf antarabangsa.
SUKMA XXII Selangor 2026 melabuhkan tirai dengan tuan rumah muncul juara keseluruhan selepas mengumpul 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa, keseluruhan 245 pingat.
Kejayaan itu menyaksikan Selangor meraih kejuaraan buat kali ke-10, sekali gus muncul negeri paling banyak memenangi temasya berkenaan sejak SUKMA mula dianjurkan pada 1986.
Lebih membanggakan, pencapaian itu mengatasi rekod terbaik Selangor ketika menjadi tuan rumah pada 1998 serta melepasi sasaran awal 80 pingat emas yang ditetapkan negeri berkenaan.
