KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) akan menganjurkan KBS Masters Games 2024 yang dijadual berlangsung dari 21 hingga 24 November ini di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Temasya sukan khas terbuka bagi golongan 40 tahun dan ke atas yang kali pertama dianjurkan itu mempertandingkan 12 jenis sukan dengan pecahan 36 kategori umur dan menawarkan keseluruhan 998 pingat.
Sukan yang dipertandingkan adalah renang, badminton, berbasikal, catur, boling padang, memanah, olahraga, ping pong, sepak takraw, e-sukan, pickleball dan petanque.
Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sukan MSN, Jefri Ngadirin berkata, penganjuran KBS Masters Games 2024 memberi peluang kepada atlet yang sudah bersara ataupun penggiat sukan berumur 40 tahun ke atas untuk terus terlibat dalam sukan secara aktif.
“Dalam ekosistem sukan kita bukan hanya setakat cerita mengenai pembangunan bakat di peringkat bawah, SUKMA (Sukan Malaysia) ataupun atlet bertanding di temasya sukan, kita juga ingin melihat rakyat Malaysia terlibat dalam sukan selepas mereka berumur 40 tahun.
“Kita dalam proses menuju negara menua, menjelang 2030 dimaklumkan kita sudah boleh dikatakan negara tua, jadi kita harap dengan adanya aktiviti ini dapat memberi peluang untuk warga veteran kita bergiat aktif dalam sukan,”katanya pada sidang akhbar KBS Masters Games 2024 pada Jumaat.
Pada masa sama, beliau berkata KBS Masters Games juga boleh menjadi platform pemilihan atlet ke World Masters Games, selain antara pentas persediaan menghadapi acara sukan tersebut.
Sementara itu, Jefri berkata setakat ini kira-kira 1,000 penyertaan sudah diterima dengan sasaran 2,000 peserta mengambil bahagian.
Menurut beliau, setakat ini sukan memanah paling mendapat perhatian dengan 207 penyertaan sementara olahraga menyaksikan penyertaan paling senior apabila berjaya menarik minat peserta berusia 70 tahun.
Jefri berkata, KBS Masters Games edisi berikutnya akan melibatkan penyertaan kontinjen negeri berbanding terbuka.
INFO
KBS Masters Games 2024
* 12 JENIS SUKAN
AKUATIK (RENANG)
BADMINTON,
BERBASIKAL,
CATUR,
LAWN BOWLS,
MEMANAH,
OLAHRAGA,
PING PONG,
SEPAK TAKRAW,
ESPORT,
PICKELBALL
BOULES-PETANQUE
* SASARAN PENYERTAAN SEBANYAK 3300 PESERTA.
SEBANYAK 51 JUMLAH ACARA, 36 KATEGORI UMUR DAN 998 PINGAT
DITAWARKAN KALI INI DENGAN MELIBATKAN 3 KLUSTER UTAMA IAITU
BUKIT JALIL, PUTRAJAYA DAN KUALA LUMPUR
* SENARAI SUKAN MENGIKUT KLUSTER
KOMPLEKS SUKAN BUKIT JALIL
1.AKUATIK (RENANG)-PUSAT AKUATIK NASIONAL BUKIT JALIL
2.CATUR- DEWAN BANQUET MSN
3.MEMANAH- PADANG SINTETIK MSN
4.OLAHRAGA MASTER-STADIUM MINI
5.PING PONG-GIMNASIUM 3, MSN
6.SEPAK TAKRAW-GIMNASIUM 2, MSN
PUTRAJAYA
1.BERBASIKAL-PRESINT 6 & TAMAN CABARAN
2.PICKEBALL-GELANGGANG TENIS, DEPOH, PRESINT 9
KUALA LUMPUR
1.BADMINTON-KOMPLEKS SUKAN MSN SETIAWANGSA
2.BOULES-PETANQUE – ARENA PETANQUE PUDU ULU
3) ESPORT- ESI HUB PUCHONG
4) LAWN BOWLS – KOMPLEKS SUKAN BUKIT KIARA