Kebangkitan Johor buat Rodney So’oialo tersenyum

Kebangkitan Johor buat Rodney So’oialo tersenyum


Tonggak Johor, Kolinio Yabia Tamanitoakula cuba melepasi halangan pemain Perlis dalam aksi separuh akhir ragbi Piala Agong di Stadium Ragbi Johor. Foto Kesatuan Ragbi Negeri Johor

PENGENDALI skuad ragbi Johor, Rodney So’oialo mengakui bangga terhadap semangat juang tinggi ditampilkan anak buahnya selepas mengatasi cabaran sengit Perlis 35-34 dalam aksi separuh akhir Piala Agong 2025 di Stadium Ragbi Johor, Mount Austin, pada Sabtu.

Bekas bintang New Zealand All Blacks itu mengakui prestasi dipamerkan naib juara terse tidak sepenuhnya memuaskan, namun memuji keupayaan pemain-pemainnya bangkit mengawal permainan pada saat-saat penting untuk memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

“Kami tahu persembahan tadi tidak sepenuhnya seperti yang kami mahukan, tetapi saya tetap bangga dengan cara pemain bertindak balas untuk bangkit dan mengawal detik-detik kemenangan.

“Pujian juga wajar diberikan kepada Perlis yang bermain dengan sangat baik. Mereka memiliki pemain dan barisan kejurulatihan yang hebat dan sepatutnya berbangga dengan apa yang dicapai musim ini,” katanya.

So’oialo turut menjelaskan Johor sudah mula merancang langkah seterusnya menjelang perlawanan akhir, sambil menekankan kepentingan mengurus beban kerja pemain bagi memastikan mereka berada pada tahap terbaik menjelang aksi penentu kejuaraan.

“Kami sudah memulakan perancangan dan kini memberi tumpuan kepada pengurusan beban kerja pemain supaya mereka cergas untuk kembali beraksi. Fokus utama kami adalah terhadap perkara yang mampu kami kawal,” jelasnya.

Mengulas mengenai lawan di pentas final, So’oialo mengakui penyandang juara PDRM bukan lawan mudah berdasarkan prestasi cemerlang yang ditunjukkan sepanjang kempen musim ini.

“PDRM sebuah pasukan hebat dan mereka sudah membuktikannya sepanjang musim ini. Saya berharap kedua-dua pasukan dapat menampilkan persembahan terbaik untuk negeri masing-masing dan para penyokong,” tambahnya.

Johor akan berentap dengan PDRM dalam aksi final Piala Agong di Stadium UM Arena, Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada 26 Oktober.

Kelantan dan Perlis pula akan menentukan pemburuan satu lagi slot podium tempat ketiga sebelum itu.

INFO

PDRM mempertahankan kejuaraan apabila menewaskan Johor 43-29 pada perlawanan akhir Piala Agong 2024 di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

PIALA AGONG 2025

KEPUTUSAN

SEPARUH AKHIR

Johor 35 – 34 Perlis

PDRM 40 – 30 Kelantan

 

 

Ringkasan AI

  • Rodney So’oialo, pengendali skuad ragbi Johor, bangga dengan semangat juang pemainnya selepas mengalahkan Perlis 35-34 dalam separuh akhir Piala Agong 2025
  • Prestasi tim tidak sepenuhnya memuaskan namun keupayaan bangkit di saat penting dipuji
  • So’oialo sudah merancang langkah seterusnya menjelang perlawanan akhir dan menekankan pengurusan beban kerja pemain
  • PDRM, lawan di pentas final, diakui sebagai pasukan hebat berdasarkan prestasi cemerlang sepanjang musim
  • Johor akan berhadapan dengan PDRM dalam aksi final Piala Agong di Stadium UM Arena, Kuala Lumpur pada 26 Oktober



Source link

OR

Scroll to Top