Kebangkitan pasukan Asia cetus rasa gusar Rangnick

Kebangkitan pasukan Asia cetus rasa gusar Rangnick


Santa Clara: Jurulatih Austria, Ralf Rangnick mengakui beliau tidak mahu pasukannya menjadi satu lagi mangsa kejutan pasukan Asia pada Piala Dunia jika gagal menampilkan prestasi terbaik ketika menentang Jordan dalam aksi pembukaan Kumpulan J, esok.

Republik Czech tewas 1-2 kepada Korea Selatan minggu lalu, manakala Australia mencemarkan kepulangan Turkiye ke pentas Piala Dunia menerusi kemenangan 2-0.

Jepun pula bangkit dua kali sebelum mengikat Belanda 2-2, sementara pilihan utama Kumpulan B, Switzerland sekadar seri 1-1 dengan Qatar, empat tahun selepas negara Teluk itu tersingkir tanpa sebarang mata ketika menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022.

“Kita sudah menyaksikan banyak kejutan sepanjang Piala Dunia ini,” kata Rangnick kepada pemberita di Stadium San Francisco Bay Area, lokasi pertemuan menentang Jordan.

“Jika melihat kepada keputusan yang dicatatkan, terdapat 12 keputusan seri dan hanya enam kemenangan. Tiada satu pun pasukan Amerika Selatan yang menang.

“Ini bukan perlawanan mudah. Mereka lawan yang mampu menyukarkan keadaan. Jordan akan cuba menyerap tekanan dan kemudian menggunakan ruang yang terbuka untuk melancarkan serangan balas.

“Itulah yang kami jangkakan daripada mereka esok,” katanya.

Austria akan menamatkan penantian selama 28 tahun untuk kembali beraksi di pentas Piala Dunia apabila turun menentang Jordan, dua tahun selepas mempamerkan aksi memberangsangkan di Euro 2024 sebelum tersingkir di pusingan 16 terbaik.

Permulaan positif dilihat amat penting buat Austria jika mahu mara dari kumpulan yang turut dibarisi Algeria dan juara bertahan, Argentina.

Austria menerima tamparan sebelum kejohanan apabila kehilangan pemain tengah utama, Christoph Baumgartner akibat kecederaan paha, pemain yang menjadi tunjang kepada corak permainan tekanan tinggi pasukan itu.

Rangnick bagaimanapun enggan mendedahkan kesebelasan utamanya, namun mengakui beliau sudah membuat keputusan mengenai barisan yang akan diturunkan sejak minggu lalu dan semua pemain lain berada dalam keadaan cergas.

Perlawanan itu dijangka berlangsung dalam cuaca nyaman, sekali gus mungkin mengurangkan keperluan untuk rehat minum yang menjadi topik perdebatan sepanjang kejohanan.

Namun Rangnick mengakui beliau menyukai pelaksanaan rehat minum itu.

“Ia sesuatu yang positif untuk saya sebagai jurulatih kerana saya boleh bercakap dengan pemain dan memberikan beberapa arahan.

“Saya jangka kira-kira 65,000 penonton akan hadir dan suasana pasti sangat bising. Sukar untuk saya berkomunikasi dengan pemain ketika perlawanan berlangsung.

“Jadi rehat minum memberi peluang kepada pasukan untuk berkumpul semula dan menyusun strategi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top