July 27, 2024

Kedah tewas gara-gara gagal sempurna peluang – Akmal

Kedah tewas gara-gara gagal sempurna peluang – Akmal


KUALA LUMPUR – Tonggak pertahanan tengah Kedah Darul Aman FC, Mohd. Akmal Md. Zahir mengakui benteng pertahanan pasukannya perlu diperkemaskan dan lebih fokus untuk tidak mengulangi kesilapan dibolosi pada minit akhir perlawanan.

Ini berikutan kekalahan pasukan Kedah dalam aksi menentang Selangor FC di mana jaringan tunggal Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau pada penghujung permainan memusnahkan impian pasukan Hijau Kuning membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata ke Alor Setar.

Tambah Akmal, apabila bertemu dengan pasukan yang baik seperti Selangor, amat penting untuk menukar semua peluang kepada jaringan dan jika tidak, pasukan boleh dihukum dengan kualiti pemain seperti yang dimiliki Selangor.

“Ya, kami telah berusaha dengan begitu baik tapi sayangnya nasib tidak menyebelahi kami dan kami bolos juga satu gol.

“Bila kita bermain di tempat lawan, kita mungkin akan dapat satu atau dua peluang tapi apabila kita tidak menjaringkan gol, pasukan lawan akan hukum dan jaringkan gol,” jelas Akmal.

Dalam temubual kepada Liga Bolasepak Malaysia juga beliau  berkongsi status kecederaan yang dialaminya tidak serius dan akan dapat beraksi dalam perlawanan seterusnya nanti.

Bagaimanapun, Ketua Jurulatih pasukan Kedah, Mohd Nafuzi Mohd Zain menyatakan rasa gembira dengan semangat yang ditampilkan para pemainya dalam perlawanan tersebut.

Menurut Nafuzi, meskipun tewas, kebimbangan yang lebih besar adalah anak buahnya tidak mampu mencipta peluang merbahaya dalam perlawanan.

Beliau turut mengakui, jentera serangan pasukan Kedah juga dilihat sedikit tumpul dalam perlawanan itu dan perlu diperbaiki dengan segera menjelang perlawanan seterusnya hujung minggu nanti.

Kedah akan menerima kunjungan pasukan Perak FC dalam perlawanan Liga Super minggu ketiga pada 24 Mei yang akan berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top