June 13, 2024

Zii Jia mara ke pusingan kedua Malaysia Masters 2024


KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia mengakui menjuarai Terbuka Thailand 2024 baru-baru ini membantu dirinya bangkit pada dua set terakhir untuk menumpaskan pemain China pada pusingan pertama Malaysia Masters 2024, di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini hari ini.

Pemain berusia 26 tahun itu yang turun sebagai pilihan kelima kejohanan ketinggalan 19-21 pada set pertama sebelum kelihatan lebih tenang dan terkawal untuk mencatatkan 21-11 dan 21-14 ke atas Zhao Jun Peng pada dua set seterusnya dalam perlawanan yang berlarutan 61 minit.

“Saya rasa keyakinan yang saya dapat di Thailand membantu saya untuk mengatasi kekecewaan pada set pertama. Saya gembira saya dapat mengawal perlawanan hari ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ini merupakan kemenangan ketiga Zii Jia ke atas pemain China itu selepas Terbuka Jerman 2022 dan Terbuka Hong Kong 2023.

Juara Seluruh England 2021 itu seterusnya akan bertemu pemain India Kiran George yang menumpaskan Takuma Obayashi dari Jepun, 21-16 dan 21-17 dalam satu lagi perlawanan pusingan pertama kejohanan bertaraf Super 500 itu. – BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top