Kegagalan PBB, sistem multilateral sebabkan defisit kepercayaan global – Anwar

Kegagalan PBB, sistem multilateral sebabkan defisit kepercayaan global – Anwar


am@hmetro.com.my

Tianjin: Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini menyifatkan kegagalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sistem multilateral untuk berfungsi dan berperanan dengan berkesan menyebabkan timbulnya defisit kepercayaan global.

Perdana Menteri menegaskan, kegagalan sistem itu turut membawa kepada tindakan yang tidak selari dengan idealisme yang dilaungkan.

Beliau berkata, kegagalan itu adalah jelas dan sudah terbukti.

“Terdapat defisit kepercayaan terhadap sistem antarabangsa akibat kegagalan kita dalam perdagangan, kerangka kewangan dan dalam menangani perubahan iklim.

“Sentiasa wujud jurang antara apa yang diperjuangkan dengan penderitaan rakyat, serta tindakan yang tidak menyamai cita-cita terbabit.

“PBB kini tidak lagi dilihat memiliki aspirasi untuk melakukan reformasi ke atas badan itu sendiri.

“Antara aspirasi dan realiti tersembunyi satu bayangan yang membimbangkan kerana ia menyumbang kepada ketidaksamarataan dan kekejaman yang dilakukan tanpa sebarang hukuman,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Shanghai Cooperation Organisation (SCO) Plus 2025, di sini hari ini.

Acara dua hari itu menghimpunkan lebih 20 ketua negara dan kerajaan serta pemimpin agensi antarabangsa.

Pada masa sama, dalam ucapannya, Anwar turut menyentuh cadangan Presiden China, Xi Jinping mengenai Inisiatif Tadbir Urus Global (GGI).

Jinping dalam ucapan pembukaannya menegaskan bahawa tadbir urus global kini berada di persimpangan baharu, dan beliau menggesa diwujudkan sistem tadbir urus global yang lebih adil dan seimbang demi membina komuniti masa depan yang dikongsi bersama.

Jinping turut mencadangkan supaya negara SCO Plus mematuhi prinsip kesaksamaan kedaulatan, mematuhi undang-undang antarabangsa, mengamalkan multilateralisme, mengutamakan pendekatan berteraskan rakyat dan memberi tumpuan kepada melaksanakan tindakan sebenar.

Sementara itu, Perdana Menteri yang menyatakan sokongan terhadap cadangan itu berkata, ia selaras dengan aspirasi Malaysia dan ASEAN, yang ketika ini dianggotai dan dipengerusikan Malaysia.

Beliau menekankan sektor antaranya penghubung ekonomi, kesihatan awam, keselamatan dan peralihan tenaga sebagai keutamaan yang seiring dengan kedudukan Malaysia dan ASEAN.

Katanya, GGI mencerminkan pengiktirafan ramai terhadap kegagalan sistem pelbagai hala, dan menekankan keselarasan gagasan itu dengan konsep Zhongyong, satu landasan tengah dalam falsafah Konfusianisme yang menekankan keadilan, belas kasihan, kemanusiaan, perundangan, kerjasama dan tindakan mampan yang berteraskan idealisme.

“Kami berkongsi aspirasi ini. Ia bermakna menolak pencerobohan, keangkuhan kuasa, kolonialisme, imperialisme serta penindasan manusia oleh manusia,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau dan pemimpin dunia yang hadir akan menyertai Perarakan Hari Kemenangan China di Beijing, Khamis ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri turut mengingati kekejaman yang berlaku secara terang-terangan di Gaza dan Palestin, termasuk pembunuhan bayi dan kanak-kanak tanpa sebarang hukuman, yang turut memberi kesan kepada negara jiran seperti Lubnan, Iran dan Iraq.

Beliau menyatakan sokongan bukan sahaja terhadap inisiatif GGI oleh Jinping tetapi menggesa supaya ia diperhebatkan.

Perdana Menteri tiba di bandar pelabuhan Tianjin semalam bagi memulakan lawatan kerja selama empat hari ke China, iaitu lawatan keempat sejak 2023.

Beliau dijadual mengadakan pertemuan secara berperingkat dengan Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Qiang di Beijing, sebelum menghadiri perarakan memperingati berakhirnya Perang Dunia Kedua di Dataran Tiananmen, Beijing.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top