KELANTAN City FC menyasarkan kedudukan dua terbaik Liga A1 Semi-Pro dengan perancangan untuk berada maksimum dua musim dalam liga berkenaan sebelum melangkah ke Liga Super.
Presiden Kelantan City, Tan Sri Annuar Musa berkata, sasaran itu merupakan sebahagian daripada pelan tiga tahun yang dirangka bagi memastikan pasukan dibangunkan secara tersusun sebelum bersaing dalam kelompok elit bola sepak negara.
Menurutnya, beliau kali ini lebih berani menetapkan sasaran tinggi berbanding kebiasaannya yang lebih berhati-hati dalam menentukan kedudukan pasukan.
“Biasanya dalam bola sepak ini, saya sangat berhati-hati, tetapi kali ini saya bercita-cita tinggi. Saya mahu yang teratas dan saya letakkan penanda aras yang tinggi.
“Plan kami maksimum dua tahun di Liga A1. Kalau layak pada tahun pertama, kami akan buat keputusan seterusnya,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran jersi Kelantan City FC di sebuah hotel, di sini pada Rabu.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PUC Sport, Mohd Shukry Pauzi yang menaja jersi pasukan berkenaan serta Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad.
Annuar berkata, sasaran berkenaan bukan semata-mata untuk mendapatkan tiket ke Liga Super, sebaliknya pasukan perlu mempunyai asas kukuh dari segi kewangan dan kualiti pemain sebelum membuat lompatan ke saingan lebih tinggi.
Katanya, pengalaman Kelantan Red Warriors (TRW) musim lalu menjadi antara perkara yang dijadikan pengajaran supaya Kelantan City tidak terburu-buru melangkah ke Liga Super tanpa persiapan mencukupi.
“Kami tidak mahu masuk ke Liga Super dan kemudian apa yang berlaku kepada TRW tahun lalu berulang.
“Kalau belum bersedia, kita akan menjadi ‘punching bag’. Sebab itu kami mahu apabila pergi ke Liga Super, mesti bersedia dari segi kewangan dan tahap pemain sekurang-kurangnya setanding dengan kebanyakan pasukan dalam Liga Super,” katanya.
Beliau berkata, peluang untuk melayakkan diri ke Liga Super juga terbuka berdasarkan kedudukan pasukan yang berada di atas dalam Liga A1, termasuk faktor terdapat beberapa pasukan yang berstatus feeder club dan tidak boleh dinaikkan ke liga berkenaan.
“Kalau kita dapat top empat, kita mempunyai peluang untuk layak. Sebab itu saya yakin, insya-ALLAH kita boleh layak ke Liga Super.
“Tetapi pendekatan kita ialah membina pasukan dari bawah supaya ia benar-benar mantap,” katanya.
Dalam pada itu, Annuar berkata, pembangunan pemain tempatan turut diberikan perhatian bagi memastikan pasukan terus meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
Beliau berkata, barisan kejurulatihan termasuk Ketua Jurulatih, Alfredo Gonzalez Wanderley Machado Da Silva Junior diminta memberi tumpuan khusus kepada peningkatan aspek teknikal pemain secara individu, terutama pemain muda.
“Saya minta jurulatih memberi tumpuan untuk memperbaiki teknik permainan secara individu bagi setiap pemain muda.
“Saya menjangkakan pasukan ini akan terus bertambah baik dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” katanya.
