Keluarga Cina mahir anyam ketupat, tak menang tangan setiap kali Aidilfitri

Keluarga Cina mahir anyam ketupat, tak menang tangan setiap kali Aidilfitri


am@hmetro.com.my

Iskandar Puteri: Sebuah keluarga berbangsa Cina di Kampung Paya Mengkuang, Gelang Patah, di sini mempunyai keunikan tersendiri apabila mahir menganyam ketupat yang kebiasaannya sinonim dengan masyarakat Melayu.

Ng Meng Chee, 63, berkata dia mula belajar menganyam ketupat ketika berusia 26 tahun selepas mempelajari kemahiran itu daripada ibu mentuanya, Lo Kil Eng, 85.

“Pada mulanya memang agak sukar, namun selepas cuba dan terus mencuba selama enam bulan barulah saya mahir menganyam ketupat ini.

“Meskipun ketupat ini sinonim dengan juadah orang Melayu ketika raya, namun kerana minat saya berjaya menguasai kemahiran ini.

“Ada juga yang seakan tidak sangka orang Cina pandai menganyam ketupat tetapi bila mereka tengok sendiri baru mereka percaya,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Ng berkata, bukan hanya dia malah enam anaknya termasuk tiga perempuan berusia 22 hingga 37 tahun itu turut mahir menganyam ketupat.

Katanya, selain dijual di pasar awam sekitar Johor Bahru, dia turut menerima tempahan daripada jiran tetangga yang majoritinya berbangsa Melayu.

“Saya bertuah kerana anak juga pandai anyam ketupat sejak mereka di bangku sekolah lagi dan mereka inilah yang bantu saya menyiapkan tempahan setiap kali Ramadan dan Aidilfitri.

“Setiap hari saya dan anak-anak mampu menganyam kira-kira 1,000 ketupat, setiap satu dijual pada harga lima hingga enam puluh sen,” katanya yang fasih berbahasa Melayu.

Lebih menarik, Ng turut menyajikan juadah ketupat bersama rendang yang dimasaknya sendiri ketika sambutan Tahun Baharu Cina.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top