Hong Kong semakin menonjol sebagai destinasi strategik bagi keluarga usahawan yang berhasrat membina dan mengekalkan legasi perniagaan merentasi generasi.
Gabungan ekosistem kewangan yang matang, inovasi teknologi dan hubungan global yang kukuh menjadikan Hong Kong sebagai platform unik untuk menyokong pertumbuhan perniagaan keluarga serta pengurusan kekayaan menyeluruh.
Menurut Global Wealth Report 2026 yang diterbitkan oleh Boston Consulting Group, Hong Kong kini adalah pusat pengurusan kekayaan rentas sempadan terbesar di dunia.
Dalam landskap ekonomi masa kini, hubungan antara perniagaan keluarga dan pejabat keluarga (family office) semakin penting.
Pejabat keluarga bukan sekadar entiti yang menguruskan kekayaan keluarga, malah berperanan sebagai pemangkin strategik dalam memastikan kesinambungan dan pertumbuhan mampan sesebuah perusahaan keluarga.
Mengekalkan kelangsungan sesebuah perusahaan keluarga merentasi generasi memerlukan lebih daripada sekadar pemindahan aset.
Ia menuntut persediaan generasi pewaris untuk mengurus kekayaan secara bijaksana, membuat keputusan tepat dan meneruskan nilai-nilai yang menjadi asas kepada identiti keluarga. Perkara ini amat difahami oleh Maximilian Kaufmann.
“Membesar dalam persekitaran Leica dan belajar daripada seorang bapa yang sentiasa memikul tanggungjawab, saya melihat Hong Kong sebagai tempat di mana tradisi dan keusahawanan dapat berkembang dengan seiring,” katanya.
Dalam persekitaran sebegini, generasi seterusnya berpeluang membina pengalaman dan mendalami landskap perniagaan serantau sambil kekal dekat dengan pangkalan keluarga mereka.
Ini membantu mereka bersedia untuk mewarisi kekayaan dan mengurus legasi keluarga secara bertanggungjawab.
Melalui Hong Kong, keluarga usahawan dapat memanfaatkan infrastruktur kewangan bertaraf dunia dan jaringan antarabangsa untuk mengoptimumkan operasi modal serta membuka peluang baharu, khususnya dalam pasaran China dan global.
Pendekatan ini membolehkan perniagaan keluarga berkembang secara lebih tersusun sambil mengekalkan kawalan terhadap aset dan legasi mereka.
Sebagai contoh, seorang usahawan Asia dalam bidang teknologi maju memilih Hong Kong sebagai hab operasi selepas diperkenalkan kepada kerjasama erat antara Kawasan Metropolitan Utara dan Shenzhen.
Hong Kong menumpukan kepada pengurusan aset, kewangan, inovasi dan hubungan antarabangsa, manakala Shenzhen memainkan peranan dalam penyelidikan dan teknologi.
Pembahagian peranan ini meningkatkan kecekapan keseluruhan. Hasilnya, usahawan berkenaan menubuhkan sebuah pejabat keluarga di Hong Kong berserta wakil keluarganya berpindah ke bandar itu.
Selain kekuatannya dalam pengurusan kekayaan, Hong Kong juga sedang pesat membina reputasi sebagai hab inovasi dan teknologi antarabangsa.
Bandar ini bukan sahaja destinasi pelaburan, malah turut memainkan peranan dalam membantu syarikat teknologi berkembang ke peringkat global dan meningkatkan nilai mereka dengan ketara .
Bagi keluarga, termasuk keluarga Melayu yang semakin cenderung melabur dalam modal teroka (venture capital), sains hayat (Life Science) dan teknologi maju, Hong Kong menyediakan akses kepada beberapa sektor paling dinamik di dunia.
Ekosistem ini disokong oleh gabungan penyelidikan akademik, rangkaian klinikal dan akses kepada modal.
Pengarah Bernina Bioinvest, Dr Bettina Ernst, menyatakan bahawa ekosistem sains hayat Hong Kong yang semakin berkembang, mengintegrasikan penyelidikan akademik, rangkaian klinikal dan modal menjadikannya pangkalan menarik untuk inovasi bioteknologi dan teknologi perubatan peringkat awal.
“Hong Kong berada di persimpangan bakat, penyelidikan dan kerjasama bernilai tinggi di seluruh Asia, menjadikannya lokasi yang sangat baik untuk melabur dalam inovasi.
“Bagi syarikat bioteknologi dan teknologi perubatan peringkat awal, akses kepada universiti, pakar klinikal dan rakan kerjasama rentas sempadan membantu mempercepatkan proses pengesahan dan penskalaan yang amat penting dalam menterjemahkan sains kepada manfaat sebenar untuk pesakit,” katanya.
Bagi pelabur dan usahawan yang mempunyai perspektif jangka panjang, pertembungan antara kecerdasan buatan (AI) dan sains hayat di Hong Kong mewakili antara peluang paling menarik di Asia.
Insilico Medicine, sebuah syarikat bioteknologi yang beribu pejabat di Hong Kong dan menggunakan AI generatif untuk mereka bentuk ubat, telah disenaraikan di Hong Kong Exchanges and Clearing (HKEX) pada Disember 2025 dengan kutipan HK$2.28 bilion (AS$291 juta), menjadikannya tawaran awam permulaan (IPO) bioteknologi terbesar di bandar itu pada tahun berkenaan.
Tawaran itu menerima permintaan yang jauh melebihi jumlah yang ditawarkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bersama dan Ketua Pegawai Saintifik Insilico Medicine, Dr Ren Feng, berkata Hong Kong memainkan peranan penting di persimpangan dua tonggak strategik; teknologi sempadan (frontier technology) dan sains hayat.
Beliau menambah bahawa bandar itu dibangunkan berasaskan asas penyelidikan yang kukuh, pasaran modal yang cekap serta komitmen berpandangan jauh terhadap kecerdasan buatan dan teknologi.
“Hong Kong bukan sahaja menyediakan persekitaran yang subur untuk syarikat seperti Insilico Medicine menterjemahkan teknologi kepada impak dunia sebenar, malah berfungsi sebagai hab global yang unik bagi modal dan pejabat keluarga untuk menghubungkan pelabur nilai jangka panjang dengan inovasi biofarmaseutikal termaju,” katanya.
Pembangunan kawasan Mertropolitan Utara turut menjadi pemacu baharu ekonomi Hong Kong dengan menyediakan lebih daripada 3,000 hektar tanah untuk industri inovasi dan teknologi.
Pelabur boleh membina, mengembangkan dan menubuhkan usaha niaga baharu di platform yang dinamik ini, sambil membuka peluang pertumbuhan yang baharu.
Dalam dunia yang semakin tidak menentu akibat konflik geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi global, kestabilan menjadi keutamaan utama bagi keluarga usahawan.
Hong Kong menawarkan rangka kerja yang diyakini oleh banyak keluarga daripada seluruh pelusuk dunia.
Persekitaran perundangan dan kawal selianya jelas, modal boleh bergerak dengan bebas, dan institusi kewangan beroperasi mengikut piawaian antarabangsa.
Ini mewujudkan asas yang stabil untuk mengurus aset merentasi sempadan.
Sejarah secara konsisten membuktikan daya tahan Hong Kong yang berkekalan walaupun berdepan pelbagai cabaran, bandar ini terus menjadi pilihan utama bagi kekayaan global, sebagaimana dibuktikan oleh ramai keluarga terkemuka yang telah menjadikannya tempat tinggal selama lebih satu abad.
Bagi keluarga Melayu yang sedang membina legasi melalui perancangan jangka panjang, kesabaran dan aspirasi yang konsisten, Hong Kong menawarkan nilai-nilai yang seiring dalam sebuah persekitaran baharu.
Dengan hubungan yang semakin kukuh antara Asia Tenggara dan China, peluang untuk mengembangkan legasi keluarga kini menjadi lebih terbuka dan strategik.
© New Straits Times Press (M) Bhd






