sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain beregu lelaki negara, Arif Junaidi mahu meraih sesuatu yang bermakna bersama Yap Roy King apabila menyasarkan sekurang-kurangnya tempat ke suku akhir Terbuka Jepun sebelum memulakan era baharu bersama Kang Khai Xing.
Terbuka Jepun mungkin bakal menjadi kejohanan terakhir buat Arif-Roy King sebelum rombakan pasangan yang dilakukan barisan kejurulatihan menyaksikan Arif akan bergandingan dengan Khai Xing bermula pada Terbuka China.
Bagi Arif, seluruh tumpuannya kini terarah kepada misi di Jepun dan belum memikirkan mengenai gandingan baharunya kerana masih menjalani latihan bersama Roy King.
“Sudah tentu kami fokus kepada Terbuka Jepun sebab di sana saya masih bergandingan dengan Roy King. Kita tengok dulu keputusan di Jepun dan berikan yang terbaik.
“Untuk Terbuka China nanti barulah saya fokus dengan Khai Xing kerana setakat ini saya masih belum berlatih dengannya. Semua latihan sekarang masih bersama Roy King,” katanya.
Selain itu, pemain berusia 24 tahun itu menyatakan perbincangan mengenai strategi dan perancangan menghadapi kejohanan Terbuka China masih belum dilakukan memandangkan masih berbaki kira-kira dua minggu sebelum saingan bermula.
“Setakat ini belum ada perbincangan lagi kerana masih ada masa. Mungkin minggu depan baru kami berbincang dengan jurulatih mengenai perancangan permainan,” katanya.
Selepas menamatkan kempen di Jepun, Arif akan mengalihkan fokus kepada gandingan baharunya bersama Khai Xing, namun menegaskan perubahan pasangan bukan sesuatu yang mahu difikirkannya ketika ini.
“Saya tak mahu fikir banyak. Bagi saya, setiap kejohanan yang disertai, tak kisah siapa pasangan saya, yang penting kami perlu berikan yang terbaik.
“Menang atau kalah itu perkara kedua. Yang penting kami turun dengan semangat juang yang tinggi dalam setiap perlawanan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






