PETALING JAYA: Parti Sosialis Malaysia (PSM) mempersoalkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang bertindak menangguhkan penyampaian keputusan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sehingga dua hari selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Timbalan Pengerusi PSM, S. Arutchelvan berkata, keputusan kes berkenaan yang pada asalnya dijadualkan hari ini ditangguhkan kepada 13 Julai sedangkan hari pengundian PRN Johor ditetapkan pada 11 Julai.
“Adakah ini sekadar kebetulan atau satu usaha untuk menghalang Syed Saddiq daripada aktif berkempen dalam PRN Johor?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Arutchelvan, PSM sebelum ini berpendirian bahawa tindakan undang-undang terhadap Syed Saddiq mempunyai unsur bermotifkan politik.
Katanya, penangguhan terbaharu itu mengejutkan memandangkan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais dilaporkan mengesahkan panel berkenaan telah bersedia untuk menyampaikan keputusan.
Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan tersebut ditangguhkan berikutan seorang daripada tiga hakim yang menganggotai panel berkenaan sedang bercuti sakit.
“Sekiranya seorang hakim tidak dapat hadir, seorang daripada hakim lain boleh membacakan keputusan yang telah disediakan.
“Penghakiman bertulis sudah siap namun mahkamah tetap memilih untuk menangguhkannya,” katanya.
Beliau berkata, kes berkenaan telah tertangguh terlalu lama sedangkan Syed Saddiq sentiasa bersedia meneruskan prosiding bagi membersihkan namanya.
Katanya, penangguhan itu secara tidak langsung boleh mengehadkan penglibatan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkenaan dalam kegiatan politik partinya.
“Sehubungan itu, PSM menggesa badan kehakiman memberikan penjelasan secara telus mengenai keperluan menangguhkan keputusan kes yang dikatakan telah bersedia untuk disampaikan.
“Rakyat Malaysia sedang memerhati dan mahu keadilan dilaksanakan secara adil.
“Keadilan yang dilengahkan adalah keadilan yang dinafikan. Penangguhan yang berterusan bermakna penafian keadilan turut berterusan,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan menangguhkan penyampaian keputusan rayuan akhir kes Syed Saddiq ke tarikh 13 Julai ini.
Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais yang bersidang bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah memaklumkan prosiding terpaksa ditangguhkan selepas salah seorang anggota panel, Hakim Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali sedang cuti sakit. – UTUSAN






