Kemboja tutup semua lintasan sempadan dengan Thailand

Kemboja tutup semua lintasan sempadan dengan Thailand

Kemboja tutup semua lintasan sempadan dengan Thailand


Phnom Penh: Kemboja menutup semua lintasan sempadannya dengan Thailand, semalam, selepas Bangkok menafikan dakwaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, bahawa satu gencatan senjata sudah dipersetujui.

Keganasan antara dua negara jiran Asia Tenggara itu berpunca daripada pertikaian lama mengenai penandaan sempadan era penjajahan sepanjang 800 kilometer (km).

Pertempuran berkenaan menyebabkan kira-kira setengah juta penduduk di kedua-dua negara dipindahkan.

Dalam pada itu, sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh minggu ini, termasuk empat tentera Thailand yang maut di kawasan sempadan pada semalam.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, Phnom Penh mengumumkan, penggantungan segera semua pergerakan masuk dan keluar di semua lintasan sempadan Kemboja-Thailand.

Kedua-dua pihak saling menyalahkan antara satu sama lain sebelum Trump mendakwa gencatan senjata sudah dicapai.

Sementara itu, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul berkata, Trump tidak menyebut mengenai gencatan senjata semasa perbualan telefon mereka pada Jumaat lalu.

Trump sebelum itu mendakwa, Thailand dan Kemboja bersetuju menghentikan semua tembakan dan kembali kepada Perjanjian Keamanan asal yang dipersetujui pada Julai lalu.

AS, China dan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pernah menjadi perantara gencatan senjata pada Julai selepas keganasan selama lima hari.

Susulan itu juga, Thailand menggantung perjanjian itu pada bulan berikutnya selepas anggotanya cedera akibat periuk api di sempadan.

Bangkok dan Phnom Penh saling bertukar tuduhan berhubung serangan terhadap orang awam ketika tentera Thailand melaporkan enam cedera akibat roket Kemboja.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menggesa, kedua-dua pihak menghentikan semua bentuk permusuhan dan menahan daripada tindakan ketenteraan lanjut.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet berkata, Kemboja sentiasa berpegang kepada cara aman dalam penyelesaian pertikaian.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top