Kemenangan Zii Jia beri isyarat positif

Kemenangan Zii Jia beri isyarat positif

Kemenangan Zii Jia beri isyarat positif


 

PETALING JAYA: Walaupun Malaysia tewas 2-3 kepada Jepun, kemenangan pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia memberi isyarat positif menjelang suku akhir pada Piala Thomas di Horsens, Denmark, Jumaat ini.

Bekas bintang No. 2 dunia itu kini kembali kepada prestasi terbaiknya selepas dia akhirnya menumbangkan Koki Watanabe 21-13, 21-19 dalam masa 41 minit pada perlawanan terakhir Kumpulan B, hari ini.

Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-82 dunia gara-gara kecederaan, meraih kemenangan sulungnya ke atas Watanabe dan sekali gus merapatkan jurang rekod pertemuan kepada 1-3.

Malang sekali beregu kedua negara yang menggandingkan Nur Izzuddin Mohd Rumsani-Soh Wooi Yik dikejutkan pasangan ke-30 dunia, Takumi Nomura-Yuichi Shimogami 21-14, 19-21, 19-21 dalam masa 1 jam 10 minit.

Kekalahan pasangan itu membolehkan Jepun mengatasi Malaysia dengan keputusan 3-1, sebelum Zii Jia turun ke gelanggang sebagai perseorangan ketiga bagi melengkapkan aksi Kumpulan B dan Malaysia muncul sebagai naib juara.

Wooi Yik ketika ditemu bual selepas perlawanan berkata, dia dan Izzuddin telah berusaha memberikan yang terbaik, tetapi sikap kurang sabar menjadi punca kekalahan mereka.

“Kami memberikan segala-galanya, tetapi, kami cuma tidak cukup sabar untuk menamatkan permainan. Itulah yang menyebabkan kami kalah hari ini. Jadi ya, kami kecewa, tetapi saya rasa kami telah memberikan yang terbaik,” katanya kepada wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Mengulas pula mengenai keserasian bersama Izzuddin, Wooi Yik berkata, rakan gandingannya itu bermain dengan baik sekali dan berjaya melindunginya ketika dia melakukan kesilapan.

“Sewaktu saya tidak bermain baik di gelanggang depan, dia terus masuk dan memberitahu saya apa yang perlu dilakukan.

“Jadi, itu adalah bahagian positif dalam perkongsian kami. Tidak kira sama ada
kami pasangan tetap atau tidak, tetapi apabila kami bersama, kami adalah
pasangan yang mantap,” ujarnya.

Izzuddin pula berkata, peluang beraksi bersama Wooi Yik merupakan satu pengalaman yang baik untuk mereka berdua dan dapat belajar perkara baharu.

Dalam masa sama Izzuddin turut melahirkan keyakinan Malaysia mampu melangkah jauh, dengan kerjsama rakan sepasukan yang lain.

Selain Izzuddin-Wooi Yik, dua lagi perseorangan Malaysia, Leong Jun Hao dan Justin Hoh turut kecundang di tangan lawan masing-masing,

Jun Hao yang diletakkan sebagai perseorangan pertama bukan tandingan jaguh No. 9 dunia, Kodai Naraoka apabila tewas 11-21, 15-21 dalam masa 49 minit, manakala, Justin kalah kepada pemain No. 19 dunia, Yushi Tanaka 15-21, 12-21 dalam masa 39 minit.

Aaron Chia-Tee Kai Wun yang turun sebagai beregu No. 1 Malaysia menghadiahkan satu lagi mata buat skuad negara setelah mengetepikan Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi 16-21, 21-14, 21-19 dalam masa 1 jam 6 minit. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top