Takeru tumbangkan Rodtang, raih gelaran interim ONE Flyweight

Takeru tumbangkan Rodtang, raih gelaran interim ONE Flyweight

Takeru tumbangkan Rodtang, raih gelaran interim ONE Flyweight


Tokyo: Bintang Jepun, Takeru Segawa mencipta detik gemilang di laman sendiri apabila menumbangkan seteru dari Thailand, Rodtang Jitmuangnon menerusi knockout (KO) pada pusingan kelima untuk merangkul gelaran interim ONE Flyweight Kickboxing di ONE Samurai 1, sebentar tadi.

Aksi di Ariake Arena itu menjadi penutup penuh dramatik kepada perseteruan dua jaguh berkenaan selepas Rodtang sebelum ini menewaskan Takeru menerusi KO pusingan pertama dalam pertemuan pertama mereka pada Mac 2025.

Sejak pusingan pembukaan, kedua-dua petarung tidak menunggu lama untuk berbalas serangan dengan Rodtang cuba memberi tekanan berterusan, namun Takeru tampil tenang membalas setiap asakan sehingga memaksa lawannya berundur ke tali gelanggang.

Momentum mula memihak kepada Takeru pada pusingan kedua apabila beliau berjaya menjatuhkan Rodtang dan biarpun keputusan itu dipertikaikan petarung Thailand berkenaan, wakil Jepun itu terus mengekalkan fokus sebelum sekali lagi menjatuhkan lawannya sebelum tamat pusingan.

Rodtang cuba bangkit pada pusingan berikutnya dengan meningkatkan intensiti serangan, namun ketahanan luar biasa Takeru dan keberaniannya untuk terus bertukar tumbukan menjadikan pertarungan itu semakin panas.

Memasuki pusingan keempat, kedua-dua petarung terus berbalas serangan di tengah gelanggang sehingga mencetuskan sorakan gemuruh penonton yang memenuhi Ariake Arena.

Penamat penuh dramatik hadir lewat pusingan kelima apabila Takeru melancarkan kombinasi pukulan bertubi-tubi sehingga memaksa Rodtang berundur ke tali gelanggang.

Walaupun Rodtang sempat bangkit, Takeru tidak memberi ruang apabila terus mengasak sebelum satu lagi tumbukan padu menjatuhkan lawannya dan memaksa pengadil menghentikan pertarungan.

Arena terus meledak meraikan kejayaan Takeru yang kelihatan keletihan, namun masih sempat memanjat penjuru gelanggang dan melakukan aksi akrobatik ikoniknya sebagai simbol kemenangan.

Kejayaan itu menjadi detik penting dalam karier Takeru yang sebelum ini melalui beberapa kekalahan besar, sekali gus menghadiahkan antara kemenangan paling diingati dalam sejarah ONE Championship.

Lebih menarik, Takeru yang sebelum ini merancang untuk bersara selepas pertarungan berkenaan kini meninggalkan divisyen dengan penuh bergaya menerusi kejayaan menumbangkan salah seorang nama paling digeruni dalam arena kickboxing dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top