July 23, 2024

Kempen tak rancak ikut georgrafi penduduk – Kon Yeow

Kempen tak rancak ikut georgrafi penduduk – Kon Yeow


NIBONG TEBAL – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyifatkan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap kurang ghairah disebabkan keadaan georgrafi kawasan ini yang lebih kepada persekitaran semi urban.

Jelas beliau, selalunya pergerakan jentera kempen akan dirancang mengikut corak kehidupan penduduk setempat bagi memudahkan mesej kerajaan disampaikan kepada pengundi.

“Kalau kita lihat cara kempen di sini (Sungai Bakap) lebih tertumpu kepada ceramah kelompok, bertemu pengundi dari rumah ke rumah dan lain-lain.

“Selain itu, kempen ini juga digerakkan dengan jentera parti termasuk rakan strategi Barisan Barisan Nasional (komponen Kerajaan Perpaduan) jadi masing-masing ada cara kempen tersendiri.

“Apa-apa pun mesej kita semua sama iaitu memenangkan calon nombor satu iaitu Cikgu Joohari (Dr Joohari Ariffin) dalam PRK ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program ‘Jom Pekena Durian Bersama CM Chow 2.0’ di pekarangan Kompleks Rakan Muda Jawi di sini, hari ini.

Sebanyak 300 kilogram durian pelbagai varieti dijamukan kepada hampir 100 pengamal media yang bertugas sempena PRK Sungai Bakap.

Mengulas lanjut Kon Yeow berkata, baki tempoh kempen 48 jam akan digunakan untuk mendekati pengundi bagi memastikan mereka keluar mengundi pada Sabtu ini.

PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

Kawasan Sungai Bakap yang berada di bawah Parlimen Nibong Tebal diadakan semula pilihan raya susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Terdahulu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal mewakili PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang diangkat menjadi wakil rakyat selepas menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top