KUALA LUMPUR – Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) menjangkakan kenaikan kos bahan-bahan mentah seperti gula, beras, gelatin dan serbuk koko akan memberi cabaran kepada syarikat dan sehubungan itu ia telah merangka strategi untuk meminimumkan kesannya.
Ketua Pegawai Kewangan Tiong Yean Yau berkata, syarikat itu juga “berhati-hati” terhadap isu-isu berbeza dalam pasaran pada masa ini, terutamanya yang melibatkan isu-isu geopolitik dan tekanan inflasi.
“Dari segi kos, apa yang kami lakukan ialah dengan lindung nilai komoditi terhadap tempahan. Kami menguruskan kos untuk meminimumkan kesannya,” kata beliau dalam taklimat keputusan kewangan bagi setengah tahun 2024 F&N hari ini.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Lim Yew Hoe berkata harga kebanyakan komoditi telah stabil kecuali serbuk koko, gelatin, kepingan keluli bersalut timah, minyak sawit, beras putih dan gula yang kekal tinggi pada 2024.
Beliau berkata sehingga Februari 2024, harga gelatin melonjak US$8,370 setiap tan metrik (MT), serbuk koko naik kepada RM16,450 MT, gula melonjak kepada RM3,195 MT manakala beras putih naik kepada RM3,700 MT.
Syarikat makanan dan minuman itu terjejas kira-kira RM5 juta berikutan harga gelatin yang lebih tinggi, kata Lim.
“Kos gelatin yang tinggi akan memberi kesan besar kepada kami. Berita baiknya ialah setakat yang kami tahu kami mempunyai lebih banyak inventori kerana kami membeli (gelatin) lebih banyak pada tahun lepas. Apabila inventori habis tahun depan, kami akan lebih terjejas,” katanya sambil menambah produk itu banyak digunakan dalam produk-produk jenama Cocoaland.
Kumpulan itu turut terjejas di antara RM3 juta dan RM4 juta setahun yang disebabkan harga serbuk koko yang lebih tinggi, kira-kira RM60 juta daripada harga gula yang lebih mahal dan RM5 juta disebabkan kenaikan harga beras. – BERNAMA