Terdahulu, Hijabista ada menulis mengenai kisah pengantin yang berkahwin walaupun si suami terlantar sakit serta terpaksa menggunakan ‘stretcher’ untuk memasuki dewan sanding. Pasangan tersebut terlihat ceria dan bahagia untuk melayari bahtera perkahwinan. Namun baru-baru ini, Hijabista menerima berita bahawa suaminya kini telah pergi buat selamanya.
Seperti yang sudah diketahui umum, rezeki, jodoh dan ajal semua sudah ditetapkan dan di takdirkan oleh Allah SWT semenjak kita masih berada di dalam kandungan lagi. Setiap yang hidup, pasti akan meninggal dunia juga suatu hari nanti.
“Innalillahi wa inna ilaihi raaji’un”
Sesungguhnya segala sesuatu berasal dari Allah akan kembali padaNya
Kisah cinta sejati Siti Marha bersama suaminya, Mohd Hashmi tidak berpanjangan apabila suaminya yang menderita akibat penyakit kanser barah otot (Leiomyosarcoma) tahap empat itu disahkan meninggal dunia Rabu lalu. Berita pemergian arwah telah dikongsikan Siti Marha sendiri melalui laman Tiktok.
“Mohon doakan suami saya Mohd Hashmi bin Arifin” tulisnya di ruangan kapsyen.
Artikel berkaitan: Pengantin Masuk Dewan Guna ‘Stretcher’, Cinta Sejati Ini Buat Netizen Sebak
@marhashmi121122 Mohon doakan suami saya Mohd Hashmi bin Arifin 😭🤲 #marhashmi ♬ Saat Terakhir – ST12
Melalui hantaran TikTok yang dimuat naik, beberapa individu dilihat keluar daripada rumah sambil mengusung keranda arwah untuk dimasukkan ke dalam van jenazah. Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kapar, Klang, Selangor.
Sempat menyambut hari ulang tahun kelahiran yang ke-36
Hijabista sempat meninjau ke ruangan hantaran video yang lain dan mendapati bahawa arwah baru sahaja menyambut hari ulang tahun kelahiran yang ke-36 pada 1 Disember lalu di sebuah pusat rawatan. Sambutan itu diadakan secara kecil-kecilan dengan kehadiran keluarga terdekat bagi memeriahkan suasana.
Bahkan pada 5 Disember, Siti Marha sempat berkongsi video kompilasi ketika suaminya mendapatkan rawatan di hospital. Siti Marha menyatakan bahawa dia merindui momen ketika bertemu suaminya di hospital.
Untuk pengetahuan anda, Siti Marha yang juga seorang jururawat berkenalan dengan suaminya sejak sembilan tahun lalu ketika Mohd Hashmi dimasukkan ke pusat perubatan tempatnya bertugas untuk mendapatkan rawatan akibat terbabit dalam kemalangan.
@marhashmi121122 How I missed this moment,I kenal u sbb nk tlg u pulih balik…ajar u bjalan from walking frame to elbow crutches then I sangka boleh train u sampai X perlu pakai tongkat,tp apakan daya kita nk tolak takdir,keadaan u X mengizinkan 🥺 February rehab moment😘 #marhashmi ♬ Muhasabah Cinta – Anisa Rahman
“How I missed this moment. Saya kenal awak sebab nak tolong awak pulih balik.
“Ajar awak berjalan dari walking frame ke elbow crutches. Kemudian saya sangka boleh ajar awak sampai tak perlu pakai tongkat tapi apakan daya kita nak tolak takdir. Keadaan awak tak mengizinkan,” tulisnya dalam video tersebut.
Difahamkan, keadaan arwah dikatakan semakin merosot sehinggalah Marha menerima khabar bahawa suami tercinta telah pergi buat selama-lamanya.
Menerusi video di TikTok, Marha turut memaklumkan suaminya ‘pergi’ selepas empat minggu mereka mendirikan rumah tangga. Marha akui sudah reda dengan pemergian suami tercinta meskipun tak dapat digambarkan betapa pilunya hati seorang isteri. Dia turut memohon orang ramai mendoakan buat arwah suaminya.
Meninjau ke ruangan komen, ramai netizen yang turut bersimpati dengan ujian yang menimpa wanita ini. Selain itu, mereka turut berharap wanita ini terus tabah menjalani dugaan besar atas kehilangan suaminya itu.
Artikel berkaitan: Jika Nak Kongsi Berita Pemergian Saudara/Saudari Kita Ke Pangkuan Ilahi, Pilihlah Gambar & Ayat Terbaik
Sumber info dan gambar: TikTok Siti Marha
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.