Kenang Arwah Ibu Bapa, Alya Iman Sebak Hasrat Tembus Layar Perak Tercapai Selepas 8 Tahun Menanti

Kenang Arwah Ibu Bapa, Alya Iman Sebak Hasrat Tembus Layar Perak Tercapai Selepas 8 Tahun Menanti


Pelakon, Alya Iman tidak dapat menahan sebak apabila impiannya untuk beraksi di layar perak akhirnya menjadi kenyataan selepas lapan tahun bertapak dalam industri seni.

Alya atau nama lengkapnya, Nur Alya Iman Azmil, 25, mengakui detik melihat dirinya di skrin besar cukup emosional, apatah lagi apabila kejayaan itu tidak dapat dikongsi bersama kedua ibu bapanya, Allahyarham Azmil Mustapha dan Jamaliah Jamari.

“Sudah tentu saya rasa sangat emosional bila tengok diri sendiri di layar perak. Saya tunggu lapan tahun untuk sampai ke tahap ini.

“Saya harap ibu bapa saya ada di sini untuk menyaksikan momen ini. Saya juga harap orang tersayang dapat bersama, tapi saya sentiasa ingatkan diri untuk hargai mereka yang masih ada di sisi.

“Dalam masa sama, ada rasa sedih dan bangga. Mungkin bagi orang lain ini kecil, tapi bagi saya ini satu pencapaian besar,” katanya.

Alya ditemui pada majlis tayangan perdana filem Pewaris Susuk di GSC Cinemas, Lalaport, pada Selasa.

Berkongsi lanjut, Alya berkata arwah bapanya sebelum ini pernah menasihati agar dia memberi tumpuan kepada pelajaran dan tidak terlalu awal menceburi dunia lakonan.

“Dulu arwah ayah bukan tak izinkan, tapi dia mahu saya fokus belajar dulu.

“Tapi saya tetap teruskan juga sebab bila tengok ayah berlakon, saya pun terinspirasi nak jadi seperti dia.

“Sejak mula dalam industri, memang saya simpan impian untuk berlakon filem. Bila akhirnya dapat tengok diri di layar perak, memang rasa sebak,” ujarnya.

Dalam Pewaris Susuk, Alya membawakan watak pembantu rumah kepada pasangan suami isteri, Hadiff lakonan Datuk Rosyam Nor dan Seroja yang dilakonkan Che Puan Sarimah Ibrahim.

Artikel Berkaitan: Karakter Penuh Misteri, Sarimah Ibrahim, Alya Iman & Rosyam Nor Jadi Nadi ‘Pewaris Susuk’



Source link

OR

Scroll to Top