Kenapa gol kemenangan Iran dikira ofsaid?

Kenapa gol kemenangan Iran dikira ofsaid?

Kenapa gol kemenangan Iran dikira ofsaid?


GOL kemenangan lewat permainan yang disangka milik Iran ketika menentang Mesir pada aksi Kumpulan G Piala Dunia 2026 dibatalkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan berlaku kedudukan ofsaid dalam situasi yang cukup tipis dan mengelirukan.

Iran pada awalnya meraikan jaringan minit akhir hasil tindakan Shojae Khalilzadeh yang menyambar bola muntah daripada situasi sepakan percuma ketika kekecohan berlaku di hadapan pintu gol Mesir.

Penjaga gol Mesir, Mostafa Shobier ketika itu sudah keluar dari kedudukan asalnya untuk menyelamatkan percubaan awal, sekali gus mewujudkan situasi kelam-kabut di dalam kotak penalti.

Namun, kegembiraan itu tidak kekal lama apabila pengadil perlawanan merujuk insiden berkenaan kepada VAR.

Semakan kemudiannya mendapati Khalilzadeh berada dalam kedudukan ofsaid ketika bola dihantar dalam fasa serangan tersebut.

Keputusan itu pada mulanya menimbulkan tanda tanya kerana rakaman ulang tayang menunjukkan pemain Iran itu kelihatan berada di belakang pertahanan terakhir Mesir, Yassir Ibrahim.

Bagaimanapun, situasi berubah apabila penjaga gol tidak lagi berada di garisan pertahanan, sekali gus menjadikan struktur pertahanan Mesir berganjak kepada dua pemain terakhir outfield.

Dalam keadaan itu, Hamza Abdelkarim dikira sebagai pemain kedua terakhir dan garisan ofsaid yang ditarik VAR menggunakan rujukan berkenaan menunjukkan Khalilzadeh berada sedikit di hadapannya ketika bola dilepaskan.

Berdasarkan Undang-undang 11 Lembaga Peraturan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB), kedudukan ofsaid ditentukan bukan sahaja berdasarkan pemain terakhir tetapi juga pemain kedua terakhir lawan terutamanya apabila penjaga gol telah keluar daripada posisi asal.

Walaupun perbezaannya amat minimum, keputusan itu cukup untuk membatalkan jaringan yang hampir memastikan Iran meraih kemenangan penting.

Setakat Sabtu, Iran berada di kedudukan keenam selaku pasukan ketiga terbaik kumpulan dan perlu bergantung kepada keputusan lain pada Ahad untuk mengetahui sama ada mereka antara lapan pasukan yang mara ke pusingan kalah mati.



Source link

OR

Scroll to Top