Kepentingan persiapan rohani sebelum menunaikan haji

Kepentingan persiapan rohani sebelum menunaikan haji


Sebahagian jemaah Malaysia yang dapat menunaikan haji tahun ini.
– Advertisement –

TANAH suci Makkah dan Madinah adalah tempat yang suci lagi bersih. Sebelum menjadi tetamu Allah SWT, umat Islam perlu menyediakan persiapan yang cukup dari segi jasmani, mental dan rohani.

Persediaan dari segi rohani amat perlu diutamakan kerana ramai yang masih berasakan diri dan jiwa masih jauh dari Allah SWT dan Rasulullah SAW.

– Advertisement –

  1. Niat

Dalam menunaikan tuntutan untuk mengerjakan haji yang diwajibkan ke atas diri seseorang muslim yang berkemampuan, hati perlu dibersihkan dari segala cacat cela dengan berniat ikhlas kerana Allah SWT. Hadirkanlah perasaan tulus dan ikhlas serta belajar bebaskan diri dari segala tekanan duniawi yang akan memberatkan fikiran sepanjang pelaksanaan haji.

Daripada Amirul Mu’minin Umar bin Al-Khattab RA, beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya amalan-amalan itu berdasarkan niatnya dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang ia niatkan. Maka sesiapa yang berhijrah kepada Allah SWT dan RasulNya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan RasulNya, dan sesiapa yang hijrahnya untuk menggapai dunia atau wanita yang hendak dinikahinya maka hijrahnya kepada apa yang dihijrahi.” (Hadis Riwayat al-Bukhari).

  1. Muhasabah diri

Sebelum menunaikan haji, luangkan masa untuk bermuhasabah diri dengan memohon keampunan kepada Allah SWT. Lakukanlah amalan dengan memfokuskan diri kerana Allah SWT dan sentiasa memohon keampunan setiap kali minda berkecamuk melihat gelagat manusia yang beragam.

Muhasabah umpama ubat yang pahit, tidak enak namun ia adalah penawar yang mengubati seribu satu penyakit. Sungguhpun menilai diri bukan sesuatu yang menyeronokkan, tetapi orang yang sering bermuhasabah akan dapat membersihkan diri daripada kejahilan, dosa dan noda.

  1. Tingkatkan amalan

Jika sebelum ini amat jarang atau belum pernah melakukan amalan-amalan seperti berzikir, membaca al-Quran, qiamullail, bertafakur, bersedekah (wang, harta, tenaga, lisan) dan sebagainya, maka perlulah dipertingkatkan semua amalan tersebut dengan harapan dapat melakukannya dengan mudah di tanah suci kelak.

Jika ketika di Makkah dan Madinah baru hendak lakukan, maka akan menjadi suatu bebanan yang akhirnya memaksa diri.

Amalan yang dilakukan kerana terpaksa, apabila pulang ke tanah air, sukar pula untuk diteruskan. Dengan itu tiadalah perubahan yang berlaku dalam diri. Justeru, latihlah diri sebelum berangkat ke tanah suci kerana latihan ini memerlukan kecekalan dan masa yang panjang.

  1. Perbaiki kualiti solat

Solat adalah ibadah yang menduduki tempat tertinggi. Umat Islam perlulah memperbaiki dan meningkatkan kualiti solat terutama mutu bacaan dan tajwid agar lebih khusyuk dan betul. Kualiti solat juga dapat dipertingkatkan dengan latih diri solat di awal waktu serta berjemaah dengan hadir ke masjid atau surau.

Usaha murni ini pastinya memberikan impak kepada kualiti solat jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

  1. Belajar berbaik sangka

Berbaik sangka sangat dituntut dalam Islam kerana boleh mengelakkan daripada menuduh orang lain berbuat jahat atau melakukan keburukan. Sifat ini mempunyai banyak kebaikan dan kelebihan seperti hubungan persahabatan serta persaudaraan menjadi lebih baik.

Apabila hati bebas daripada bersangka buruk, maka yang ada dalam hati adalah sangkaan yang baik-baik saja

Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati.”

  1. Istiqamah

Perjalanan suci yang diredai Allah SWT tidak terlepas daripada pelbagai cabaran yang hanya akan dapat diatasi oleh semangat yang tinggi, sabar, tidak berputus asa dan beristiqamah.

Rasulullah telah bersabda yang bermaksud: “Amal kebaikan yang disukai Allah SWT ialah yang sentiasa dilakukan walaupun sedikit.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Istiqamah sangat penting dalam melakukan sesuatu hal. Rasulullah SAW menyeru kita untuk istiqamah dalam membuat kebaikan, juga dalam melihat kecacatan lalu membaikinya. Beristiqamah dalam melakukan sesuatu perkara amar makruf nahi mungkar haruslah dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan niat itu hendaklah ikhlas kerana Allah SWT.

Setiap hari, keadaan diri kita mestilah lebih baik daripada yang sebelumnya. Hari ini lebih baik dari semalam dan begitulah seterusnya, iaitu pembaikan yang berterusan. Dengan demikian kita dapat berangkat dalam keadaan bersih dan suci serta terlepas dari segala beban duniawi sepanjang perjalanan menunaikan ibadah haji.

Oleh itu, usahakan agar perjalanan rohani ini boleh berjalan dengan baik dan lancar serta mendapat reda Allah SWT dan memperoleh haji yang mabrur sebagaimana sabda Rasulullah “Haji yang mabrur tiada ganjarannya yang sesuai melainkan syurga.” (Hadis Riwayat at-Thobaroni). – HARAKAHDAILY 8/6/2024

– Advertisement –



Source link

OR

Scroll to Top