PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) ingin menegaskan kepentingan tatakelola yang telus dan akauntabiliti dalam semua pertubuhan sukan khususnya yang menerima dana kerajaan.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, sebagai badan yang bergantung kepada wang rakyat, pertubuhan seperti Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempunyai tanggungjawab moral dan undang-undang untuk memastikan pengurusan mereka bersih daripada unsur penyalahgunaan kuasa, ketirisan dan salah laku kewangan.
“Kami memandang serius sebarang isu berkaitan tadbir urus dan integriti dalam BAM seperti yang dinyatakan dalam siasatan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).
“Sekiranya terdapat individu yang didapati bersalah, tindakan tegas mesti diambil tanpa kompromi. Ini bukan sahaja untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap BAM, tetapi sebagai amaran kepada semua organisasi lain bahawa tiada siapa yang kebal daripada tindakan undang-undang,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.
Justeru MCW mendesak agar laporan penuh siasatan SPRM terhadap BAM didedahkan kepada umum.
“Ini penting untuk memastikan rakyat, sebagai pembayar cukai, memahami situasi sebenar dan yakin bahawa sebarang isu telah ditangani dengan adil dan telus. Ketelusan adalah kunci untuk memulihkan kepercayaan masyarakat terhadap badan sukan negara,” ujar Jais.
SPRM pada 21 Januari lalu mengesahkan tiada unsur salah laku ditemukan dalam siasatan terhadap kepimpinan tertinggi BAM berhubung dakwaan salah guna elaun yang dibangkitkan menerusi satu surat layang.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan berhubung satu surat layang yang disebarkan sebelum ini sudah dilengkapkan dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Jais menjelaskan bahawa dana kerajaan yang disalurkan kepada BAM dan organisasi sukan lain adalah amanah daripada rakyat.
“Oleh itu, setiap sen yang dibelanjakan mesti memberi manfaat kepada pembangunan sukan dan tidak boleh disalahgunakan.
“BAM perlu mempertingkatkan mekanisme pemantauan dalaman bagi memastikan setiap proses kewangan memenuhi standard tatakelola yang tinggi,” katanya.
Beliau turut menyeru SPRM untuk terus memantau BAM dan semua badan sukan serta NGO di Malaysia.
Beliau berkata, pemantauan berterusan penting untuk memastikan tidak berlaku pengulangan isu berkaitan tadbir urus dan integriti.
“SPRM perlu bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk menilai semula mekanisme pengagihan dana dan memastikan pertubuhan yang menerima dana mematuhi prinsip integriti yang ditetapkan.
“MCW percaya bahawa pendedahan ini merupakan peluang untuk memperbaiki sistem tadbir urus dalam BAM dan organisasi sukan lain.
“Semua pihak mesti memainkan peranan termasuk kerajaan, SPRM dan masyarakat untuk memastikan sukan di Malaysia bebas daripada sebarang bentuk salah laku yang mencemarkan imej negara,” katanya.