Keracunan: Perlawanan play-off Salernitana, Sampdoria tangguh

Keracunan: Perlawanan play-off Salernitana, Sampdoria tangguh


Aksi play-off Salernitana, Sampdoria tangguh selepas pemain I Granata keracunan makanan.

PERLAWANAN kedua play-off penyingkiran Serie B Itali, UC Sampdoria dan US Salernitana ditangguhkan 48 jam selepas sejumlah pemain dan kakitangan I Granata dimasukkan ke hospital akibat keracunan makanan.

Pertembungan penting yang dijadualkan berlangsung di Stadio Arechi, Salerno, pada Jumaat akan diadakan pada Ahad.

Penangguhan itu dibuat selepas permohonan rasmi daripada Salernitana diterima pihak liga.

Ia susulan insiden melibatkan 21 anggota rombongan pasukan tersebut jatuh sakit sekembalinya dari Genoa selepas kekalahan 0-2 dalam aksi pertama hujung minggu lalu.

Situasi ini menyukarkan persiapan Salernitana menjelang aksi hidup mati itu, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengurusan pasukan.

“Kami benar-benar terkejut dengan apa yang berlaku, serta rangkaian peristiwa yang berisiko menjejaskan ketenangan dan kelancaran persiapan Salernitana untuk detik terakhir musim ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Salernitana, Maurizio Milan, dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, kebanyakan pemain dan kakitangan tidak mampu hadir ke pusat latihan dan sesi latihan yang dijadualkan pada Isnin terpaksa dibatalkan.

Pihak kelab turut menggesa siasatan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden keracunan makanan yang disifatkan sebagai luar biasa dan serius itu.



Source link

OR

Scroll to Top