Kerajaan cadang perluas tanaman koko kepada 10,000 hektar

Kerajaan cadang perluas tanaman koko kepada 10,000 hektar


mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan akan memperluaskan kawasan tanaman koko daripada 5,985 hektar kepada 10,000 hektar dalam tempoh lima tahun akan datang sebagai langkah strategik memenuhi peningkatan permintaan komoditi itu.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK), Datuk Chan Foong Hin berkata, kementerian serta Lembaga Koko Malaysia (LKM) giat melaksanakan usaha itu menerusi Program Galakan Tanaman Koko Sektor Perladangan bagi merancakkan peluasan kawasan tanaman koko melalui sektor perladangan.

“Berdasarkan data tahun 2024, purata harga biji koko kering telah meningkat sebanyak 141 peratus kepada RM24,274 satu tan metrik berbanding RM10,073 pada tahun sebelumnya. Permintaan terhadap koko berkualiti tinggi terus mencatatkan peningkatan.

“Kementerian menyasarkan supaya keluasan tanaman koko diperluaskan dari 5,985 hektar kepada 10,000 hektar dalam tempoh lima tahun menjelang 2030.

“Kebetulan esok saya juga akan mengadakan Program Libat Urus Galakan Tanaman Koko Sektor Perladangan Wilayah Sabah di Tawau,” katanya pada waktu Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Lo Su Fui (GRS-Tawau) mengenai Langkah kerajaan bagi menggalakkan penanaman koko di Sabah.

Menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) mengenai dasar KPK mengeluarkan produk berasaskan koko seperti coklat, Chan berkata, kerajaan menjenamakan dan mempromosikan produk premium koko tempatan sebagai koko asal tunggal (single origin) dan koko berperisa unik.

“Kaedah sedemikian, membolehkan pengusaha koko mempromosikan keunikan rasa koko setempat yang mampu menjadi tarikan kepada pembuat coklat tempatan dan antarabangsa.

“Terdapat pelbagai bantuan yang telah dan sedang diberikan KPK bersama LKM dalam usaha untuk membantu petani ini kekal mengusahakan tanaman koko secara ‘case-by-case basis’.

“Antaranya baja bagi peningkatan kesuburan dan memperbaiki struktur tanah, racun perosak dan penyakit bagi mengawal serangan perosak dan penyakit untuk meminimakan kehilangan hasil akibat serangan perosak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top