Kerajaan kini tanggung subsidi bahan api RM5 bilion sebulan berbanding RM700 juta Januari lalu – PM Anwar

Kerajaan kini tanggung subsidi bahan api RM5 bilion sebulan berbanding RM700 juta Januari lalu – PM Anwar


am@hmetro.com.my

Putrajaya: Kerajaan kini menanggung beban subsidi bahan api mencecah kira-kira RM5 bilion sebulan, dengan jumlah itu berpotensi meningkat kepada lebih RM6 bilion sekiranya harga minyak global melonjak tinggi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, jumlah subsidi ditanggung kerajaan itu melonjak tinggi berbanding sekitar RM700 juta pada Januari lalu, sekali gus memberi tekanan kepada kedudukan kewangan negara.

“Kalau harga (subsidi ditampung kerajaan) setakat sekarang, RM5 bilion sebulan, bayangkan 10 bulan RM50 bilion daripada dana kerajaan.

“Penjawat awam harus tahu ya. Kadang-kadang ada yang tidak tahu, di bawah, di luar lain, ada yang tanya kenapa kos naik, kenapa harga minyak tak turun? RM1.99 patutnya turun lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di sini, hari ini.

Anwar berkata, Malaysia antara negara yang menawarkan harga bahan api paling rendah di dunia, dengan RON95 bersubsidi pada kadar RM1.99 seliter.

Katanya, peningkatan mendadak subsidi daripada sekitar RM700 juta sebulan pada awal tahun kepada RM5 bilion ketika ini menunjukkan tekanan sebenar yang dihadapi kerajaan.

“Pada mulanya kita fikir mampu tampung, tetapi untuk tempoh panjang, dana sedia ada tidak mampu menampung berbulan-bulan,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan mengambil langkah penyelarasan subsidi, termasuk bagi diesel, bagi mengatasi ketirisan dan aktiviti penyeludupan yang masih berlaku.

Perdana Menteri turut menegur sikap segelintir pihak yang hanya menonjolkan kenaikan harga tanpa mengambil kira kewujudan subsidi yang masih ditanggung kerajaan.

“Betul harga naik, betul. Ada masalah, ya. Tapi kena adil dalam melihat keseluruhan keadaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top