Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan masih mempunyai mandat untuk meneruskan pentadbiran dan belum melihat keperluan untuk membubarkan Parlimen dalam tempoh terdekat.
Menurut laporan Kosmo! Online, beliau berkata, tumpuan utama kerajaan ketika ini adalah mengekalkan kestabilan politik selain memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara terus diperkukuh, terutama ketika dunia berdepan pelbagai ketidaktentuan.
Anwar berkata, rakyat juga mengharapkan kerajaan memberi fokus kepada pemulihan serta pembangunan ekonomi berbanding terlalu menumpukan kepada persaingan politik.
“Saya percaya rakyat juga mahu kestabilan, rakyat juga mahu ekonomi berkembang dan rakyat pun mahu jangan kita hanya berpolitik sepanjang masa.
“Bagilah masa, kita ada mandat. Sampai pilihan raya, bertempurlah pula,” katanya.
Foto arkib: Utusan
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai kemungkinan kerajaan membubarkan Parlimen bagi mendapatkan mandat baharu dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan semua pihak supaya tidak terlalu selesa atau yakin dengan kedudukan politik masing-masing kerana keputusan akhir tetap berada di tangan rakyat.
Sumber: Kosmo! Online (Amir Haikal Kamarudin)






