Kerajaan sedang meneliti keperluan dalam menyalurkan bantuan kewangan kepada Nepal susulan bencana banjir besar yang melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet.
Foto: MalaysiaGazette
Selain bantuan kewangan, kerajaan turut mempertimbangkan penghantaran pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bagi membantu operasi susulan bencana berkenaan.
Memetik laporan MalaysiaGazette, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyelarasan berkaitan penghantaran pasukan SAR kini dilakukan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menurut beliau, kerajaan masih menunggu maklumat lanjut sebelum memutuskan bentuk bantuan yang akan dihantar ke Nepal.
“MKN sedang menyelaraskan sama ada kita hantar pasukan SMART (Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia), pasukan penyelamat atau bomba.
“Itu akan kita putuskan,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sembilang, hari ini.
Anwar berkata, kerajaan juga sedang berhubung dengan pihak berkuasa Nepal bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai situasi terkini di kawasan terjejas.
Maklumat tersebut penting bagi membolehkan kerajaan menentukan tindakan seterusnya yang bersesuaian dengan keadaan bencana.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Kementerian Luar sedang menyelaras maklumat mengenai rakyat Malaysia yang dipercayai terjejas akibat kejadian itu.
Usaha berkenaan turut melibatkan pengesanan individu yang masih belum dapat dihubungi sehingga kini.

“Maklumat yang diterima daripada beberapa negara jiran seperti India, China dan Bangladesh turut sedang diselaraskan bagi mendapatkan perkembangan terbaharu.
“Jadi kita minta pihak keluarga yang terlibat untuk menghubungi pihak Kementerian Luar,” jelasnya.
Sebelum ini, media melaporkan Jabatan Pelancongan Nepal menerbitkan senarai 668 individu dari pelbagai negara yang dilaporkan masih terputus hubungan susulan bencana tersebut.
Daripada jumlah berkenaan, seramai 51 individu dikenal pasti sebagai rakyat Malaysia.
Artikel lain: Banjir Nepal: Agong gesa tindakan wajar bantu rakyat Malaysia terjejas! Titip doa keselamatan mangsa
Kesemua mereka dilaporkan menggunakan perkhidmatan beberapa agensi pelancongan, antaranya Leaf Holiday, Fishtail, Dream Tibet Travel and Tour serta Kailash Journey.
Sumber: MalaysiaGazette (Malinda Abdul Malik)
