‘Kerja keras lebih tiga kali ganda’

‘Kerja keras lebih tiga kali ganda’


Ahmad Najmi. Foto Bernama

SKUAD hoki lelaki negara diberi kata dua agar tidak berasa selesa dengan prestasi dan pencapaian semasa kerana saingan sengit di pentas antarabangsa menuntut komitmen serta pengorbanan tertinggi.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak, menuntut agar skuad Speedy Tigers bimbingan Sarjit Singh tampil lebih garang dalam saingan Piala Negara-Negara yang akan berlangsung di laman sendiri bermula minggu depan.

Tegas beliau, barisan pemain terutamanya tenaga muda tidak seharusnya cepat berpuas hati, sebaliknya perlu bekerja lebih keras dari pelbagai aspek termasuk fizikal, mental dan cara berfikir.

“Bukan untuk membuat perbandingan, tetapi pemain dari negara luar cepat belajar dan jauh lebih matang. Perkembangan ini sepatutnya menjadi motivasi untuk pemain kita agar dapat berada setanding atau lebih baik daripada mereka.

“Ini yang selalu saya tegur. Pemain muda kata mereka sudah bekerja keras, tetapi saya katakan kepada mereka bahawa pemain luar negara bekerja lebih keras daripada kamu semua.

“Jika kamu rasa sudah bekerja kuat, maka kamu perlu bekerja tiga kali ganda lebih kuat.

“Saya ingatkan mereka, jangan mudah berpuas hati dan jangan cepat selesa dengan pengorbanan yang telah dilakukan. Negara lain sudah jauh ke hadapan dalam pelbagai aspek,” ujarnya.

Kejohanan edisi ketiga itu dijadualkan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dari 15 hingga 21 Jun ini.

Speedy Tigers yang kini berada di ranking ke-13 dunia diundi dalam Kumpulan B bersama New Zealand, Pakistan dan Jepun.

Skuad negara yang disasarkan untuk mara ke separuh akhir dijadual membuka tirai kempen menentang Pakistan pada 15 Jun, diikuti pertemuan dengan New Zealand keesokan harinya, sebelum menutup aksi peringkat kumpulan menentang Jepun pada 18 Jun.



Source link

OR

Scroll to Top