kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Keusahawanan Sosial IKEA terus memperkukuh peranannya dalam membangunkan ekosistem keusahawanan sosial negara menerusi program Social Enterprise Accelerator Malaysia (SEAM), Kerjasama strategik Biji-biji Initiative bersama IKEA Social Entrepreneurship (ISE) dan disokong oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan rakan ekosistem.
Penyelaras Program Keusahawanan Sosial IKEA, Tirza Voss berkata, SEAM adalah program pemecut selama tiga tahun yang bertujuan membantu perusahaan sosial (SE) tempatan berkembang secara mampan melalui sokongan pembiayaan, bimbingan perniagaan serta akses kepada rangkaian korporat dan kerajaan.
Katanya, selain geran kewangan, Keusahawanan Sosial IKEA memainkan peranan aktif menyediakan mentorship masterclass serta akses kepada pakar global.
“Ini termasuk khidmat nasihat berkaitan reka bentuk dalaman, penempatan produk dan amalan kelestarian, khususnya untuk perusahaan sosial yang merancang membuka kedai fizikal.
“Walaupun produk daripada peserta SEAM belum lagi dijual di IKEA Malaysia, perbincangan ke arah kerjasama perniagaan pada masa depan sedang berjalan,” katanya kepada Bisnes Metro ketika ditemui di program SEAM Closing Summit 2026, di sini.
Tirza berkata, program keusahawanan sosial itu juga sejajar dengan amalan global IKEA yang sudah memasarkan produk keluaran perusahaan sosial di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Biji-biji Initiative, Juliana Adam berkata, perusahaan sosial bukan entiti pinggiran, sebaliknya rakan strategik penting dalam membina Malaysia yang bersedia dengan keupayaan mencipta pekerjaan, memperkasa komuniti dan menyediakan penyelesaian berskala untuk sektor korporat.
Katanya, pendekatan pembangunan kapasiti secara pembelajaran rakan setara turut ditekankan bagi membolehkan perusahaan sosial berkongsi cabaran dan pengalaman, sekali gus membina komuniti sokongan yang lebih kukuh.
“Bagi kohort pertama, sebanyak 10 perusahaan sosial dipilih dan setiap satu menerima pembiayaan sehingga RM100,000.
“Program selama 12 bulan itu turut merangkumi sesi bimbingan intensif, penambahbaikan model perniagaan serta penyediaan pelan penskalaan bagi memastikan kelangsungan jangka panjang,” katanya.
Mengulas perancangan seterusnya, Juliana berkata, kohort kedua SEAM dijadualkan dilancarkan pada pertengahan 2026 dengan penambahbaikan berdasarkan pembelajaran daripada kohort pertama.
Katanya, inisiatif itu selari dengan sasaran nasional untuk melahirkan 5,000 perusahaan sosial bertauliah, selain menggalakkan lebih banyak pembabitan sektor korporat dan kerajaan bagi memastikan kelestarian jangka panjang sektor berkenaan.
Selain itu, Timbalan Setiausaha Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa KUSKOP, June Suhaila Saran berkata, pihaknya akan memberi tumpuan kepada aspek dasar, akreditasi serta mempromosikan perusahaan sosial kepada agensi kerajaan dan rakan korporat.
“Walaupun pembiayaan langsung kerajaan adalah terhad, kementerian berperanan penting membuka peluang kepada perusahaan sosial untuk terbabit dalam perolehan kerajaan,” katanya.
SEAM turut menekankan keupayaan perusahaan sosial untuk bergerak melangkaui kebergantungan kepada geran jangka pendek, sebaliknya menjadi entiti bersedia perniagaan dan bersedia korporat bagi membolehkan kerjasama berskala dan mampan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






