MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) merangka kerjasama strategik bagi memacu persiapan negara sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027.
Kolaborasi tersebut bagi memperkukuh kemudahan dan sokongan kepada atlet serta persatuan sukan kebangsaan (NSA).
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, kerjasama itu akan melibatkan perkongsian sumber dan fasiliti, termasuk perancangan menempatkan bangunan baharu MOM di Bukit Jalil – kawasan tumpuan utama ekosistem sukan negara.
“PSM adalah ‘home of sports’, di sinilah berkumpulnya pemegang taruh seperti MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara) dan atlet.
“Jadi langkah ini memudahkan urusan harian dan mencerminkan komitmen MOM memodenkan pengurusan sukan,” katanya ketika ditemui media sempena pelancaran Hari Olimpik di Bukit Jalil pada Isnin.
Beliau menjelaskan bahawa Bukit Jalil dijangka menjadi nadi utama temasya tersebut memandangkan kebanyakan acara besar akan berlangsung di Semenanjung.
“Kerjasama ini amat tepat pada waktunya dalam memastikan semua pihak bersedia lebih awal menjelang 2027,” katanya.
Menurut Mohamad Norza, kolaborasi dengan PSM juga diharap dapat mempercepatkan proses kelulusan Olympic House yang dirancang dibina di kawasan sama.
“Kami mendapat sokongan penuh daripada 58 badan sukan di bawah MOM. Menerusi kerjasama ini, laluan ke pihak berkuasa tempatan seperti DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) akan jadi lebih lancar,” katanya.
MOM dan PSM juga bercadang untuk memperhalusi pelan akses atlet terhadap fasiliti PSM dalam fasa akan datang bagi membentuk ekosistem sukan yang inklusif, moden dan mampan.