BEKAS pengendali Manchester United, Erik Ten Hag telah melakukan kesilapan besar apabila menandatangani Antony berbanding dua lagi pemain yang lebih bagus.
Menurut laporan media antarabangsa The Athletic, Ten Hag pada musim pertamanya di kelab itu mempunyai pilihan untuk menandatangani Raphina yang kini beraksi bersama Barcelona dan Cody Gakpo yang ketika ini bersinar bersama Liverpool.
Namun, dia memlilih Antony yang sebelum itu bekerjasama dengannya ketika di kelab gergasi Eredivisie, Ajax Amsterdam.
Ia telah membuktikan kesilapan besar kerana Antony yang dibeli dengan harga €95 juta (RM434 juta) tidak dapat mencapai apa yang diharapkan di Old Trafford dan jika memilih Raphina mungkin keadaan tidak seperti ketika ini.
Dia hanya menjaringkan 12 gol dan lima bantuan dalam 96 penampilannya untuk United dan tidak menjadi pemain utama dalam kesebelasan United.
Malah, pemain yang dilabel terlalu mahal itu juga tidak mendapat tempat di hati pengendali baharu United, Ruben Amorim menyaksikan dia terpaksa menyertai kelab La Liga, Real Betis secara pinjaman baru-baru ini.
Laporan daripada The Athletic telah mendedahkan bahawa Raphinha adalah alternatif yang paling menonjol pada jendela musim panas 2022.
United mempunyai alternatif untuk peranan sayap kanan dimainkan oleh Raphinha, tetapi pasukan penilaian United bersama dengan pengaruh peribadi Ten Hag menilai Antony sebagai pemain yang lebih baik termasuk kerana umurnya tiga tahun lebih muda.
Raphinha mencipta namanya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Leeds United dan berjaya meledak 17 gol sebelum di sambar oleh kelab gergasi Sepanyol, Barcelona.
Dia terus cemerlang di Barcelona dengan mencatatkan 23 gol dan 11 bantuan jaringan dalam 31 perlawanan musim ini.
Selain itu, Cody Gakpo juga alternatif lain kepada Antony namun tidak meneruskan bidaan untuk mendapatkan pemain itu pada hari-hari terakhir jendela perpindahan.