JADUAL padat dan tanpa kudrat beberapa pemain tonggak menjadi cabaran Terengganu FC apabila membuka semula gelanggang bola sepak domestik dan pentas ASEAN pada Februari.
Skuad kendalian Badrul Afzan Razali akan berdepan penyandang juara Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan timbal balik kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Sabtu ini.
Misi menterbalikkan defisit 0-4 ketika tewas kepada Harimau Selatan kendalian Hector Bidoglio di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, 1 Januari lalu sekali lagi menuntut tahap disiplin tinggi pemain.
Selepas itu, skuad Penyu akan ke Thailand untuk perlawanan terakhir Kumpulan A Kejuaraan Kelab ASEAN menentang pendahulu, BG Pathum United di Stadium Leo, Pathum Thani, pada 5 Februari.
Misi tiga mata menjadi keutamaan pasukan pantai timur itu bagi mencerahkan laluan ke separuh akhir temasya bola sepak kelab rantau Asia Tenggara tersebut selepas mengejutkan PSM Makassar, 1-0.
Biarpun begitu Badrul Afzan tetap percaya pemain kelab pantai timur itu mampu memberikan saingan kepada anak buah Bidoglio.
“Terengganu berdepan JDT sebanyak tiga kali dan kita tahu bahawa lawan merupakan pasukan yang cukup berkualiti di semua bahagian.
“Malah kita pun tahu bahawa bukan satu tugas mudah untuk membawa keputusan positif keluar dari Stadium Sultan Ibrahim, namun tiada yang mustahil menterbalikkan defisit 0-4, insya-ALLAH.
Kapten JDT, Matthew Davies (kiri) diasak Akhyar Rashid dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Januari lalu. Foto Terengganu FC
“Dan inilah masa terbaik setiap pemain Terengganu menampilkan aksi terbaik masing-masing untuk aksi separuh akhir kedua ini,” katanya pada Rabu.
Mengulas lanjut, Badrul Afzan berkata, skuad Penyu melakukan persiapan rapi untuk berdepan gergasi bola sepak negara itu.
“Untuk perlawanan Liga Super sebelum ini saya memuji perubahan karakter pemain selepas kekalahan separuh akhir pertama Piala Malaysia.
“Kita berjaya mencipta beberapa peluang, namun gagal menterjemahkan dalam bentuk jaringan itu sahaja.
“Persiapan menentang JDT berjalan seperti biasa, cuma kita kehilangan khidmat Ismahil Akinade dan Rahadiazli Rahalim, selain Akram Mahinan yang mengutip dua kad kuning,” katanya.
Mengulas lanjut aksi berdepan BG Pathum, Badrul Afzan berkata: “Keputusan positif berdepan BG Pathum di Pathum Thani penting dalam merealisasikan misi pasukan mara ke separuh akhir.
“Insya-ALLAH, kami akan menurunkan skuad terbaik bagi berhadapan pasukan BG Pathum nanti.”
JADUAL PIALA MALAYSIA
SABTU (1 FEBRUARI)
JDT (4) lwn (0) Terengganu FC
(Stdm Sultan Ibrahim, 5.30 petang)
AHAD (2 FEBRUARI)
Sri Pahang FC (1) lwn (1) Sabah FC
(Stdm Majlis Perbandaran Temerloh, 8.30 malam)
* Dalam kurungan keputusan separuh akhir pertama
* Tarikh, venue, masa tertakluk pindaan Liga Bolasepak Malaysia