Tuchel puas hati kebangkitan England

Tuchel puas hati kebangkitan England


Arlington: Jurulatih England, Thomas Tuchel memuji tindak balas bertenaga pasukannya selepas aksi goyah pada separuh masa pertama ketika mereka membuka kempen Kumpulan L Piala Dunia dengan kemenangan 4-2 ke atas Croatia di Dallas, awal pagi tadi.

Jude Bellingham dan Marcus Rashford menjaringkan gol pada separuh masa kedua untuk memastikan kemenangan skuad itu selepas dua kali kelebihan jaringan yang disumbangkan Harry Kane dalam babak pertama dipadam pemain Croatia, Martin Baturina dan Petar Musa.

“Saya suka keseluruhan aksi separuh masa kedua,” kata Tuchel.

“Saya suka reaksi pemain selepas separuh masa pertama yang sangat rumit menentang lawan yang berkualiti.

“Saya fikir kami sedikit gugup, mungkin terlalu mahu melakukan yang terbaik, tetapi kami terlalu banyak berfikir dalam membuat keputusan dan mengambil masa terlalu lama untuk bertindak. Apabila kami patut bermain hantaran pendek, kami bermain jauh dan apabila kami patut bermain jauh, kami bermain dengan hantaran pendek.

“Kami menghabiskan terlalu banyak masa di kawasan sendiri, yang mana bukan identiti kami dan bukan apa yang kami mahukan. Dua kali mendahului juga tidak membuatkan kami bermain lebih bebas.

“Saya merasakan pemain seperti mahu mempertahankan sesuatu dan kami dihukum kerana perkara itu. Bagi aspek psikologi, ia bukan mudah. Namun, saya sangat suka reaksi selepas waktu rehat.”

England kelihatan mengawal permainan apabila Kane meletakkan pasukannya di hadapan pada minit ke-12 menerusi sepakan penalti, namun Baturina menyamakan kedudukan sebelum Kane menjaringkan gol ke-10 dalam kariernya di Piala Dunia.

Gol penyamaan Musa kemudian melengkapkan separuh masa pertama yang mendebarkan, tetapi England menguasai permainan dengan lebih baik selepas rehat menerusi jaringan Bellingham dan Rashford.

“Masih ada perkara yang perlu diperbaiki,” kata Tuchel.

“Saya rasa itu perkara biasa. Selepas perlawanan pertama, dalam satu kejohanan anda perlu berkembang.

“Kami mendapat undian yang sukar dalam kejohanan ini, jadi perkara positif adalah apa yang akan kami fokus sekarang dan menikmati kemenangan ini. Kami masih mempunyai masa yang cukup untuk membuat perubahan.”

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top