July 27, 2024

Ketakutan buat Real tidak lupa diri

Ketakutan buat Real tidak lupa diri


London: Jurulatih Borussia Dortmund, Edin Terzic percaya ‘apa sahaja boleh berlaku’ kerana pasukannya berhasrat untuk melakukan satu daripada kejutan terbesar dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Real Madrid di stadium Wembley, London awal pagi esok.

Gergasi Sepanyol itu adalah pilihan utama untuk dinobatkan sebagai juara Eropah buat kali ke-15, dan keenam dalam 11 musim terakhir, dengan menentang Dortmund yang mengetepikan segala ramalan untuk mara ke final.

Real hanya tewas dua kali dalam 54 perlawanan semua kejohanan musim ini, merangkul kejuaraan La Liga dengan kelebihan 10 mata dan membelasah Barcelona 4-1 untuk menjulang Piala Super Sepanyol.

Bagaimanapun, mereka terpaksa sekali lagi menggali lebih dalam untuk mencapai apa yang disifatkan oleh jurulatih Carlo Ancelotti sebagai ‘permainan terbesar dalam mana-mana musim’ dalam Liga Juara-Juara Eropah.

“Kami perlu menikmatinya apabila berada di sini,” kata pengendali kelahiran Itali itu pada sidang media praperlawanan.

“Bagaimanapun, mengetahui ia boleh menjadi sebaliknya kerana kami hampir dengan perkara paling penting dalam bola sepak – memenangi Liga Juara-Juara Eropah namun mempunyai ketakutan seperti ini boleh membuatkan kami sedar.”

Anak buah Ancelotti berjaya menahan serangan daripada juara bertahan Manchester City untuk memenangi perlawanan suku akhir menerusi penentuan sepakan penalti sebelum melakukan satu lagi kebangkitan luar biasa di Santiago Bernabeu bagi menewaskan Bayern Munich di separuh akhir.

“Kami tidak pernah berhenti percaya diri sendiri, tidak kira bagaimana keadaannya,” kata Luka Modric, yang bersama Nacho, Dani Carvajal dan Toni Kroos, menjelang perlawanan terakhir karier peringkat kelab serta boleh memenangi Piala Eropah untuk kali keenam.

“Kami sentiasa percaya, terus percaya, terus mendesak, berjuang hingga ke akhirnya. Akhirnya, kami berjaya mencari jalan untuk menewaskan pihak lawan.

“Ramai orang berkata ada tuah, tetapi apabila ia berlaku berkali-kali, saya fikir ia bukan hanya nasib.”

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top