Putrajaya: Perkhidmatan Awam dibelenggu tiga cabaran utama yang semakin menebal dan memerlukan penambahbaikan perlu dilakukan dengan segera, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata daripada pemerhatian peribadinya, cabaran pertama ialah mentaliti berkerja secara in-silo dan birokrasi yang masih kuat mengakar dan berumbi, dalam sesetengah agensi kerajaan.
Shamsul Azri berkata ia berpunca daripada wujudnya perasaan superior atau rasa diri berkuasa dan lebih hebat daripada orang lain dalam kalangan petugas agensi, sehingga memikirkan bahawa kuasa mutlak hanya milik agensi itu.
“Jadi, nak luluskan satu-satu projek pembangunan itu, kena lalu proses yang melibatkan semua kementerian dan agensi ini. Betul, masing-masing ada fungsi dan peranannya.
“Namun, sewajarnya itu bukan alasan untuk kita mengambil masa yang lama dan panjang untuk memproses satu-satu projek, sehingga menjadi asbab projek tersebut tidak dapat disiapkan ikut tempoh yang dirancang…. Akhirnya, ekspektasi pihak berkepentingan dan pelanggan tidak dapat dipenuhi,” katanya ketika berucap pada Majlis Aspirasi Kepimpinan KSN, di sini hari ini.
Shamsul Azri berkata cabaran kedua ialah penyampaian perkhidmatan yang masih menggunakan kaedah lama, kurang efektif dan tidak berdaya saing.
Beliau berkata cabaran itu selari dengan dapatan laporan Biro Pengaduan Awam, yang menyatakan bahawa kebanyakan aduan yang diterima pada tahun ini berkaitan kegagalan memenuhi ekspektasi pelanggan, aduan mengenai kemudahan dan infrastruktur awam serta penguatkuasaan yang lemah.
“Kita bercakap tentang teknologi yang meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, tetapi dalam masa yang sama masih terdapat juga rungutan daripada pelanggan seperti ‘Kerajaan ini lambat’, ‘Kerajaan ini tak prihatin’ dan ‘kaunter ada sepuluh, yang buka hanya satu’ dan macam-macam lagi,” katanya.
Shamsul Azri berkata untuk menangani cabaran itu, beliau percaya setiap ketua jabatan perlu mengambil pendekatan Management by Walking Around (MBWA), bagi memastikan perkhidmatan kita kepada rakyat sentiasa cekap, pantas dan profesional.
KSN berkata cabaran ketiga ialah isu integriti penjawat awam, dengan tidak menafikan masih wujud Little Napoleon dalam organisasi kerajaan.
Beliau berkata perkara itu berdasarkan statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sejumlah 408 tangkapan melibatkan penjawat awam dilakukan berbanding 318 tangkapan bagi tempoh sama tahun lepas.
“Kita juga mudah berasa selesa dengan apa yang kita sedia ada. Complacency.
“Dan ini saya percaya ia terjadi kerana kurangnya penghayatan terhadap nilai-nilai yang menunjangi kita sebagai seorang insan seperti rukun Madani yang digagaskan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), yang saya perhatikan masih lagi lemah,” katanya.
Shamsul Azri berkata untuk mendepani cabaran-cabaran itu, penambahbaikan segera perlu dilakukan seiring hasrat untuk melaksanakan reformasi perkhidmatan awam secara tuntas.
“Ini adalah kritikal agar segala inisiatif yang diketengahkan betul-betul berkualiti dan benar-benar menyentuh denyut nadi rakyat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd